Search This Blog

Friday, November 28, 2014

Mekanik mengaku tidak bersalah sebabkan kematian wanita



CHOW Teik Leong, 53, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melanggar seorang wanita dengan niat menyebabkan kematian minggu lalu. - Foto BERNAMA
GEORGETOWN: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melanggar seorang wanita dengan niat menyebabkan kematian minggu lepas.
Tertuduh, Chow Teik Leong, 53, dari Bajan Ajam, Butterworth dituduh dengan sengaja menyebabkan kematian Lee Seoh Pheng, 47, dengan melanggar mangsa di bawah Flat Taman Desa Intan, Jalan Thean Teik, Bandar Baru, Air Itam.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.40 tengah malam, pada 21 November lepas. Dia didakwa di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Zulhazmi Abdullah tidak membenarkan Chow diikat jamin dan menetapkan 22 Januari 2015 untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini dan Nur Farhana Hashim.
Chow pula diwakili peguam bela Datuk Baljit Singh, manakala peguam Muhammad Arif Shaharuddin menjadi peguam pemerhati mewakili peguam Ramkarpal Singh untuk keluarga mangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment