Search This Blog

Friday, November 21, 2014

Empat jahanam

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

mriduwan@hmetro.com.my

Seremban: Seorang lelaki warga emas kerugian wang tunai RM56,900 selepas disamun empat perompak bersenjatakan parang tengah hari ini berhampiran sebuah bank di Jalan Rasah, di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 60-an turut dilarikan dalam sebuah kereta dari lokasi kejadian sebelum ditinggalkan di tepi jalan Ulu Kanchong, Rantau, dekat sini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, seorang daripada suspek menunggu di dalam kereta berkenaan manakala tiga rakannya menyamun mangsa.
Menurutnya, mangsa turut mengalami kecederaan di muka dan menerima empat jahitan akibat terkena libasan parang dan mendapatkan rawatan sebuah klinik di Pedas, Rembau.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera semasa melakukan samun. Orang ramai diminta segera menyalurkan maklumat jika mengetahui kejadian dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-7682222 atau balai polis berhampiran.
Sementara itu, satu rakaman video berdurasi 32 saat dikatakan mempunyai kaitan kes berkenaan dimuat naik seorang saksi di Facebook dan menjadi viral apabila dikongsi oleh pengunjung.
Setakat jam 11 malam ini video itu ditonton oleh 66,074 orang dan dikongsi 3,517 pengunjung.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 1:18 AM


KELIHATAN mangsa diheret penyamun.

No comments:

Post a Comment