Search This Blog

Sunday, November 30, 2014

Lelaki Maut Tersepit Antara Van Dan Tembok


Diterbitkan: Ahad, 30 November 2014 1:39 PM
mayat

MELAKA: Seorang lelaki maut apabila tersepit antara sebuah van dan tembok konkrit di Lobi Utama, Bangunan Majlis Agama Islam Melaka di sini, lewat petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata kejadian itu berlaku semasa mangsa yang dikenali sebagai Norazam Abd Razak, 43, dipercayai menghidupkan enjin sebuah van ketika berada di bahagian pintu pemandu tanpa menyedari gear kenderaan itu bukan dalam keadaan neutral.
Beliau berkata dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, van yang dihidupkan itu kemudian terlajak lalu mengakibatkan mangsa tersepit antara pintu van dan tembok berhampiran.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat cedera di bahagian dada dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang wanita Azyati Jamaludin, 22, maut setelah motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta di Jalan Sungai Udang di sini, pukul 5.10 petang semalam.
Shaikh Abdul Adzis berkata mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Sungai Udang ke Tanjung Kling dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya tetapi gagal dan terjatuh di laluan bertentangan, sebelum dilanggar sebuah kereta lain di laluan itu.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Elak Cukai Kereta Mewah, Dua Lelaki Ditahan SPRM


Diterbitkan: Ahad, 30 November 2014 1:51 PM

PETALING JAYA: Tindakan dua lelaki mengaut keuntungan mudah dengan menjual kereta mewah bernilai hampir RM1 juta tanpa melunaskan cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia membawa padah apabila mereka dicekup penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Suspek yang terdiri daripada pengurus syarikat swasta itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram apabila mengelak daripada membayar cukai Kastam sebanyak hampir RM300,000.
Mereka ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
SPRM dalam kenyataan pada Ahad berkata, kedua-dua lelaki terbabit dikesan menggunakan kemudahan pinjaman daripada sebuah bank untuk membeli kereta mewah itu sebelum ia didaftarkan di Langkawi.
"Bagaimanapun suspek telah membuat penukaran hak milik dan mendaftar kenderaan itu di Lembah Klang setelah proses pembatalan syarat khas Kastam dibuat tanpa melunaskan cukai Kastam.
"Kereta mewah itu telah dijual kepada sebuah syarikat menjual kereta dengan nilai hampir RM1 juta, manakala wang yang diperolehi telah digubah ke beberapa akaun termasuk dibelanjakan," jelasnya.
SPRM memberitahu, berikutan itu kedua-dua suspek kini telah ditahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 serta kesalahan menipu.
Kedua-dua mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Jamidan Abdullah yang mengesahkan mengenai penahanan itu berkata, operasi tersebut merupakan sebahagian fokus suruhanjaya berkenaan terhadap sektor swasta. 

Penunggang basikal Switzerland jatuh gaung

Mohd Rizal Abdullah
Kuala Lumpur:Seorang penunggang basikal warga Switzerland patah kaki kanan apabila terjatuh ke gaung di Bukit Kiara Resort di sini, pagi hari ini.
Dalam kejadian 10.15 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Simon,40, terjatuh ke gaung ketika berbasikal bersama rakan-rakannya.
Difahamkan, mangsa terjatuh ke dalam gaung itu kerana permukaan jalan yang licin akibat hujan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun Ismail Mohd Tarmizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.21 pagi dan tiba ke lokasi pada jam 10.40 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian, rakan dan orang ramai sudah berjaya membawa naik mangsa ke tepi jalan sebelum dia dihantar ke sebuah hospital swasta di Damansara untuk rawatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 3:51 PM


MANGSA dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13070#sthash.SwvUwxXk.dpuf

Bot karam, dua dikhuatiri lemas


Oleh Syazwan Msar

am@hmetro.com.my
Pekan: Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca dinaiki bersama seorang lagi rakan karam di Sungai Pahang dekat Kampung Pulau Jawa, berhampiran Jeti Kuala Pahang, di sini, kira-kira 6 petang ini.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Zuhair Sulong, 42, dari Kampung Pulau Jawa dan Azizul Mohd Ali, 28, daripada Taman Mawar, Kampung Marhom.
Kejadian berlaku apabila tiga rakan itu mahu mengambil kelapa di Kampung Jawa, dekat sini, namun ketika perjalanan pulang bot yang dinaiki mereka tenggelam dipercayai terlebih muatan.
Pegawai Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Zulkifli Wan Mohamed, berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.15 petang.
“Lapan anggota bomba termasuk unit penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan di kerahkan ke tempat kejadian. Sehingga 10 malam, mangsa masih belum ditemui manakala seorang rakan mereka, Said Harun, 31, juga dari Kampung Pulau Jawa terselamat apabila bertindak berenang ke darat," katanya ketika dihubungi.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 10:27 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12882#sthash.atcxi9om.dpuf

Kaki ditemui terapung di tali air

NIBONG TEBAL: Sebelah kaki dari lutut hingga tapak kaki ditemui terapung di tebing tali air di Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap, di sini, hari ini, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Wan Hasan Wan Ahmad.
Beliau berkata, kaki kanan itu ditemui pada kira-kira 4 petang tadi, tidak jauh dari lokasi mayat seorang lelaki tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui penduduk kampung berkenaan pada Khamis lepas.
"Kaki yang masih dilengkapi seluar jean itu ditemui oleh seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkannya kepada polis. Ia dipercayai hanyut dan tersangkut di tebing itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, kaki itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.
"Setakat ini, polis tidak dapat memastikan sama ada kaki itu mempunyai kaitan dengan penemuan mayat tanpa kepala, tangan dan kaki sebelum ini. Kami kena tunggu laporan bedah siasat," katanya.
Wan Hassan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
Isnin lepas, satu bungkusan berisi kepala manusia ditemui di tiang berhampiran sebuah kedai makan di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam.
Pada Khamis pula, mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat dalam guni ditemui penduduk kampung dalam tali air di Sungai Bakap.
- BERNAMA

Polis tahan along bersama RM545,599 di Teluk Kumbar

BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai along dan merampas wang tunai berjumlah RM545,599 dalam serbuan di rumahnya di Teluk Kumbar di sini, Khamis lepas.
Jurucakap polis berkata, dalam serbuan pada 2.30 petang itu, lelaki berusia 35 tahun berkenaan cuba melarikan diri bagaimanapun gagal kerana sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya telah mengepung kawasan rumah berkenaan.
"Bertindak hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan polis menerusi Ops Cenderawasih menyerbu rumah berkenaan dan berjaya menahan lelaki itu. Hasil pemeriksaan polis menemui wang tunai sebanyak RM545,599.
"Pemeriksaan lanjut polis menemui 51 helai slip pengeluaran wang daripada pelbagai bank, 96 keping kad pinjaman pelbagai bank 51 keping cek bernilai hampir RM1 juta dan 10 buku akaun simpanan pelbagai bank," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut menemui tiga bilah parang panjang yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemberian pinjaman wang tanpa lesen.
Jurucakap itu berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen sejak tahun lepas dan mengenakan caj yang tinggi kepada peminjam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, ACP PR Gunalan, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu dan dia kini direman bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang pernah meminjam wang daripada lelaki berkenaan agar tampil membantu siasatan kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 2011 dan Seksyen 7(1)(a) Akta bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata berbahaya 1958, katanya.
- BERNAMA

Pegawai polis Ferguson yang tembak Michael Brown letak jawatan

FERGUSON: Pegawai polis yang menembak mati remaja kulit hitam Michael Brown, meletakkan jawatan daripada Jabatan Polis Ferguson, Missouri hari ini, hampir dua bulan selepas berdepan dengan protes di pinggir bandar St. Louis serta di Amerika Syarikat.
Darren Wilson, anggota polis berkulit putih bercuti sejak kejadian tembakan 9 Ogos lalu.
Peletakan jawatannya diumumkan oleh salah seorang peguamnya, Neil Bruntrager.
Bruntrager berkata peletakan jawatan anak guamnya itu berkuat kuasa serta-merta.
Juri mahkamah mengambil masa lebih tiga bulan untuk meneliti dan melihat semula bukti bagi kes berkenaan sebelum memutuskan tidak mendakwa Wilson yang berusia 28 tahun, minggu lalu.
Wilson memberitahu mahkamah bahawa beliau khuatir nyawanya terancam apabila Brown cuba menyerang dan merampas senjata apinya.
Jabatan Keadilan Amerika masih menjalankan penyiasatan mengikut hak asasi awam dalam kes tembakan itu manakala Jabatan Polis Ferguson turut menjalankan siasatan berasingan di peringkat jabatan. - AP

David Beckham Dan Anak Terlibat Kemalangan Jalan Raya


Diterbitkan: Ahad, 30 November 2014 10:11 AM

LONDON: Lagenda bola sepak England, David Beckham terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas mengambil anaknya, Brooklyn di pusat latihan Arsenal pada pagi Sabtu.
Dalam kemalangan berhampiran pusat latihan tersebut, Beckham dan anaknya tidak mengalami kecederaan, tetapi kereta yang dipandu bekas pemain Manchester United itu mengalami kerosakan teruk.
Sebelum kejadian, Beckham, 39, menyaksikan anak sulungnya, Brooklyn, 15, mewakili skuad bawah 16 tahun Arsenal menentang Brington di London Colney, Hertfordshire.
David Beckham pictured at a basketball game in Los Angeles Brooklyn Beckham pictured at the premiere of If I Stay in August
Kejadian itu dilapor telah disaksikan oleh seorang pekerja pusat latihan akademi Arsenal.
Saksi itu memberitahu, Beckham dan anaknya tidak mengalami kecederaan walaupun kelihatan terkejut, malah dia juga tidak bertengkar dengan pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu sebaliknya mereka bersalaman dan pulang.
Beckham pulang dengan kereta lain bersama anaknya dan tidak pasti sama ada mereka ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut.
David Beckham and his son Brooklyn both walked away from the accident unscathed. Here the two are pictured leaving a gym in Los Angeles

7,000 Maut Akibat Wabak Ebola - WHO


Diterbitkan: Ahad, 30 November 2014 12:23 PM

GENEVA: Hampir 7,000 orang maut akibat wabak Ebola di barat Afrika, dengan laporan terbaharu dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan ada 1,200 lagi kematian daripada jumlah keseluruhan yang dikeluarkan Rabu lalu.

Data yang diumumkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada lewat Jumaat lalu menunjukkan 16,169 orang dijangkiti Ebola.

Daripada jumlah itu seramai 6,928 orang meninggal dunia di Sierra Leone, Guinea dan Liberia, negara yang teruk dilanda wabak itu.

Pada Rabu lalu, WHO mengumumkan jumlah kematian akibat Ebola di tiga negara itu kini mencecah 5,674, dengan 15 kematian di negara lain.
WHO tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai jumlah kematian yang makin meningkat itu terutama di Liberia.

Namun jumlah kematian terbaharu itu kemungkinan termasuk kes yang tidak dilaporkan sebelum ini.

WHO bagaimanapun memberitahu, terdapat kesulitan untuk mengumpul jumlah berkenaan dengan kadar korban kematian wabak itu kini sekitar 70 peratus.

Pertubuhan itu percaya angka kematian jauh lebih banyak daripada yang didaftarkan setakat ini.

Angka kematian tertinggi setakat ini direkodkan di Liberia walaupun pemerhati memberitahu penyebaran virus maut itu semakin perlahan sejak beberapa minggu lalu.

Namun, jumlah kematian Ebola di Liberia kini mencecah 4,181 daripada 7,244 kes jangkitan.

Sierra Leone pula menurut WHO masih berdepan dengan wabak yang merebak dengan pantas di beberapa bahagian di negara itu dengan jumlah kematian kini mencecah 1,461 orang daripada 6,802 kes.

Guinea yang dilanda wabak berbahaya itu hampir setahun lalu kini mencatat jumlah kematian 1,284 orang daripada 2,123 kes, meningkat daripada 1,260 kematian dan 2,134 kes dua hari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, WHO melaporkan Mali adalah negara terbaharu dilanda Ebola, dengan enam kematian direkodkan daripada lapan kes yang diterima.

Nigeria mencatatkan lapan kematian akibat Ebola manakala Senegal dengan satu kes.

Bagaimanapun tiada kes terbaharu dilaporkan di Mali dan Nigeria sejak 57 hari lalu, sekali gus membolehkan kedua-dua negara itu diisytiharkan bebas Ebola.

Niat jahat peragut bawa padah


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 November 2014
SEKINCHAN - Niat jahat seorang lelaki ingin meragut telefon bimbit pembonceng sebuah motosikal bukan sahaja gagal, malah nyaris menemui ajal apabila motosikal yang ditungganginya terbabas ke dalam sawah padi di Parit 7 Ban 2 Sekinchan, di sini, malam, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek berusia 24 tahun itu dipercayai mengekori motosikal yang ditunggang bapa mangsa berusia 47 tahun.

Menurutnya, ketika kejadian, bapa mangsa dipercayai mengambil anak perempuannya berusia 20 tahun di tempat kerjanya di sebuah kedai kain di Sekinchan untuk pulang ke rumah mereka di Parit 7 Sekinchan.

“Bagaimanapun, sebaik mangsa dan bapanya sampai di perkampungan Site C  Sekinchan, suspek yang menunggang motosikal telah menghimpit motosikal terbabit dan cuba meragut telefon bimbit yang dipegang mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Azmi berkata, tindakan suspek terbabit ternyata membawa padah apabila bapa mangsa yang terkejut dengan tindakan lelaki itu kemudiannya mengejar suspek sejauh kira-kira dua kilometer hingga menyebabkan suspek gagal mengawal motosikal terbabit.

“Suspek yang menunggang motosikal Yamaha Ego tidak sempat melarikan diri, sebaliknya terjatuh ke dalam bendang dan bapa mangsa terus menghubungi seorang rakannya yang menganggotai Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) di kampung terbabit,” katanya.

Menurut beliau, beberapa minit kemudian beberapa anggota SRS tiba di tempat kejadian lalu menangkap suspek dan mereka kemudiannya membawa lelaki terbabit ke Balai Polis Sekinchan untuk tindakan susulan.

“Hasil soal siasat polis mendapati, suspek amat dikehendaki polis kerana sering terlibat dalam beberapa kes ragut sekitar Sekinchan bersama seorang rakannya sebelum ini, bagaimanapun polis telah berjaya menahan rakan mangsa.

“Kita percaya dengan tertangkapnya suspek, kes ragut yang berlaku di sekitar Sekinchan ini dapat dilumpuhkan dan kita telah menahan reman suspek selama empat hari bermula semalam (kelmarin) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun; denda dan sebatan.

Wanita maut dilanggar lari


Mayat wanita dipercayai dilanggar lari sebelum dibawa ke hospital.
Mayat wanita dipercayai dilanggar lari sebelum dibawa ke hospital.
KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Jalan Selayang-Kepong berhampiran susur ke Taman Bukit Maluri pagi semalam.

Menurut sumber, wanita yang maut itu dianggarkan berusia antara 25 hingga 30 tahun.

“Sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti, dipercayai gagal mengelak lalu merempuh mangsa. Wanita itu maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya.

Katanya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa berbaju kemeja-T berwarna hitam dan berseluar panjang warna merah. Kita masih mengesan pemandu kenderaan terbabit, saksi kejadian boleh tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.  Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

700 lembu hilang, rugi RM1.75 juta


Kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk curi lembu.
Kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk curi lembu.
GUA MUSANG - Seramai 400 penternak kerugian RM1.75 juta apabila 700 lembu ternakan mereka hilang dipercayai dicuri dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini dengan purata kehilangan antara dua hingga empat ekor semalam.
Dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, 150 lembu hilang dicuri mengakibatkan kerugian RM375,000 membabitkan kawasan ternakan dalam ladang sawit Tanah Rancangan Felda, Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar dan Ladang Sungai Terah.

Pengerusi Persatuan Penternak Ruminan Kelantan, Zulkifli Md Zain berkata, kebanyakan lembu yang dicuri itu dijual di luar negeri ini, termasuk sekitar Kuala Lumpur bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan juga penternak itu sendiri.

Beliau bimbang 11,000 lembu dalam kawasan ladang berkenaan berdepan kejadian serupa berikutan penternak sukar mengawal lembu mereka yang dilepaskan dalam kawasan ladang terbabit.

“Kita tidak boleh pagar kawasan ternakan itu kerana jika kita berbuat demikian memudahkan lagi kegiatan mencuri lembu berikutan ternakan terbabit berkumpul dalam satu tempat,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan meninjau kawasan ternakan lembu di Kampung Aring, dekat sini, pagi semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan kematian suspek dipercayai menjalankan kegiatan mencuri lembu di Ladang Sungai Terah, baru-baru ini, akibat penternak hilang sabar, sebaliknya hanya tertembak ketika suspek cuba menetak pemilik lembu yang juga anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) menggunakan parang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 pagi 11 November lalu, seorang daripada dua lelaki berasal dari RKT Kesedar Paloh berusia 33 tahun yang disyaki pencuri lembu maut dipercayai tertembak penternak itu sendiri ketika mempertahankan diri.
Zulkifli berkata, kebanyakan penternak lembu semakin hilang sabar dengan keadaan yang berlaku itu, tetapi tidaklah sampai mengambil tindakan di luar undang-undang kerana banyak lagi cara yang boleh mengawasi perkara itu.
Sebagai ketua dalam persatuan penternak lembu, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan jangan menganggap kejadian itu sengaja mencari musuh yang boleh mengeruhkan lagi hubungan antara penternak dan orang ramai.

“Ahli persatuan yang menjalankan ternakan itu juga adalah permintaan kerajaan untuk jadikan Kelantan sebagai pengeluar makanan utama berasaskan daging lembu di negara ini, walaupun berdepan risiko kejadian curi itu,” katanya.

Gerak hati ibu penyelamat nyawa


Ibu mertua Emi, Faridah Ramli, 47, sedih melihat keadaan motosikalnya yang rosak teruk
akibat dirempuh kereta terbabit
Ibu mertua Emi, Faridah Ramli, 47, sedih melihat keadaan motosikalnya yang rosak teruk akibat dirempuh kereta terbabit
RANTAU PANJANG - Keputusan seorang ibu membawa bersama bayinya yang baru berusia enam bulan ke kedai runcit, ternyata menyelamatkan kedua-duanya daripada kecelakaan apabila sebuah kereta terbabas dan merempuh rumah mereka, di Repek, di sini pada jam 11.50 pagi semalam.

Emi Che Abd Rashid, 28, berkata, ketika kejadian suami, bapa serta ibu mertuanya keluar bekerja sementara anak lelakinya yang berusia tujuh tahun sedang bermain di rumah jiran.

Menurut Emi, kebiasaannya dia akan menemani anak lelakinya bermain atau berehat di ruang tamu rumah mereka namun pada hari itu terdetik di hatinya untuk ke kedai runcit di depan rumah.

"Jika tak tergerak hati saya untuk ke kedai runcit bersama bayi saya, sudah pasti kami akan cedera parah akibat kejadian tersebut.

"Ketika menyeberang jalan, saya lihat kereta jenis Toyota yang dipandu seorang pemuda merempuh sebuah wakaf, kemudian melanggar motosikal dan kereta yang diletakkan di tepi rumah saya," katanya.

Katanya, kereta terbabit akhirnya berhenti selepas melanggar kerusi konkrit dan tangga rumahnya.

Sementara itu, bapa mertuanya, Mamat Jusoh, 60 memaklumkan, kejadian itu menyebabkan rumahnya mengalami kerosakan teruk terutama pada dinding dan tiang.

"Saya tak mampu baiki semua kerosakan yang berlaku akibat kejadian ini kerana hanya bekerja kampung dan upahnya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azuhan Ibrahim dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.59 pagi.

Menurutnya, seramai enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan mendapati pemandu berjaya keluar daripada kereta terbabit, manakala pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati tiada berlaku sebarang kebocoran.

Lori hilang dijumpai tak sampai 24 jam


Tindakan pantas anggota JSJ IPD Kota Tinggi berjaya menumpaskan geng curi lori.
Tindakan pantas anggota JSJ IPD Kota Tinggi berjaya menumpaskan geng curi lori.
KOTA TINGGI - Tindakan pantas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini berjaya menemui kembali sebuah lori yang dilaporkan hilang dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Penemuan itu sekali gus berjaya menumpaskan sekumpulan lelaki dipercayai geng curi lori dengan tertangkapnya lima suspek dalam kejadian 23 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kes kehilangan lori tersebut bersabit dengan satu laporan yang dibuat di Balai Polis Benut pada jam 8.30 pagi pada 23 November lalu.

Menurutnya, bertindak hasil maklumat orang awam, jam 11.30 pagi hari sama, polis berjaya mengesan lori yang dilapor hilang di kawasan Bukit Samsu, Batu Ampat.

“Lori tersebut dipandu dua lelaki warga tempatan menuju ke Mawai dan seterusnya ke Ladang Tengah, Bandar Penawar.

“Intipan mendedahkan kedua-dua lelaki itu menemui dua lelaki lain yang juga warga tempatan serta seorang lelaki warga negara Indonesia dipercayai untuk melakukan proses jual beli dan pengubahsuaian.

“Polis menahan kelima-lima suspek berusia antara 26 hingga 41 tahun tersebut untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, hasil siasatan, pihaknya mendapati salah seorang suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan ugutan dan curi kenderaan.

"Manakala dua lagi suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.

“Kesemua suspek juga positif dadah dan lelaki Indonesia merupakan pekerja yang bekerja dengan salah seorang suspek," katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek melarikan lori tersebut untuk dijual kepada dua suspek yang dijumpai di Ladang Tengah, Bandar Penawar itu dengan harga RM6,000 sebuah.

Katanya, semua suspek dan lori terbabit diserahkan kepada IPD Pontian untuk tindakan lanjut.

Mak nyah lari bertempiaran


Salah seorang mak nyah ditahan untuk siasatan.
Salah seorang mak nyah ditahan untuk siasatan.
ALOR SETAR - Tiga mak nyah lari bertempiaran selepas diserbu Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) ketika Ops Bersih di sekitar bandar raya ini, awal pagi semalam.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-undang, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, seramai 30 anggota menyertai operasi itu.

"Kesemua tahanan disoal siasat dan dibebaskan dengan ikat jamin.

“Kita akan tunggu keluarga atau waris mereka datang memberi jaminan dan seterusnya akan didakwa di mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, mak nyah dikenali sebagai Rosalinda, 47, memberikan alasan kakinya patah dan merayu untuk dilepaskan ketika serbuan dilakukan.

"Saya buat kerja ni untuk dapatkan wang," katanya.

Seorang lagi mak nyah digelar Emy, 24, dilaporkan pernah dicekup sebelum ini.

“Saya hanya nak dapatkan duit lebih, tetapi kadang-kadang tak banyak. Mereka hanya bayar RM10 hingga RM30 sahaja,” katanya.

Lebih memeranjatkan operasi itu turut menahan seorang mak nyah remaja berusia 15 tahun.

Dia berkata, pekerjaan ini adalah sumber pendapatan tetapnya.

Bentuk badannya yang persis gadis mengakui mula terlibat dengan aktiviti sumbang itu secara serius selepas di bawa rakannya ke kawasan tersebut.

“Saya bekerja tak sampai setahun di kawasan ini. Saya terpaksa lakukan kerja ini sebab tiada sumber pendapatan lain,” katanya.

Duda tiga anak, remaja dicekup

Kesemua yang ditahan disoal siasat termasuk kanak-kanak berusia 11 tahun dipercayai anak kepada duda berkenaan.
Kesemua yang ditahan disoal siasat termasuk kanak-kanak berusia 11 tahun dipercayai anak kepada duda berkenaan.
ALOR SETAR - Seorang duda tergamak membawa anak perempuannya berusia 11 tahun ke rumah tumpangan untuk bermadu kasih bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Bagaimanapun, helah mereka terbongkar selepas sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) melakukan serbuan Ops Bersih kira-kira pukul 12.00 tengah malam sekitar bandaraya ini, kelmarin.
Ketika serbuan, duda  tiga anak berusia 33 tahun itu bersama pasangannya, seorang jururawat peribadi berusia 27 tahun memaklumkan sudah berkahwin.
Namun, setelah pemeriksaan dilakukan, pihak Jaik mendapati mereka tiada sijil nikah yang sah dan mengubah status sebagai telah bertunang.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-undang, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, pasangan tersebut memberikan alasan bakal berkahwin dan akibat kekangan kewangan ia terpaksa ditangguhkan.
“Mereka mungkin sudah lama bersekedudukan di situ apabila anak perempuannya itu mengaku sering mengikut ayahnya ke kawasan tersebut untuk berjumpa gadis itu.
“Difahamkan, gadis berasal dari Baling itu menyewa di kawasan terbabit sejak beberapa bulan lalu bersama pasangannya,” katanya.
Turut dicekup dalam operasi berkenaan adalah sepasang remaja berusia 19 dan 15 tahun yang juga anak penjawat awam.
Ketika serbuan, remaja perempuan bawah umur itu berada di dalam selimut di atas katil manakala remaja lelaki tersebut lengkap berpakaian.

Menurutnya, walaupun pasangan tersebut dicadangkan berkahwin namun mereka enggan berbuat demikian dengan alasan masih muda.

“Remaja perempuan itu bekerja sambilan di sekitar bandar raya ini dan sudah tidak bersekolah manakala pasangannya berniaga,” katanya.

Anggota polis maut dalam nahas


Mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian.
KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, maut apabila motosikalnya terbabas selepas bertembung dengan van dalam kejadian di Jalan Melawi-Jelawat di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohamad Shakuan Mohd Tajudin, dipercayai mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian dan menurutnya mangsa merupakan anggota polis yang bertugas di balai Bachok.

“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai tugasan mengawal lalu lintas dalam program jelajah basikal.

“Dalam perjalanan terbabit, tiba-tiba sebuah van dari arah bertentangan melanggar Mohd Shakuan yang menunggang motosikal berseorangan dari arah bertentangan dan akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan muka,” katanya.

Abdul Hamid berkata, mangsa meninggal di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian di Kampung Parit, Perak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan raya (APJ) 1987 dan kita menahan pemandu van wanita yang terlibat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mubarak bebas tuduhan bunuh


Hosni Mubarak
Hosni Mubarak
KAHERAH - MESIR. Sebuah mahkamah Mesir semalam menggugurkan tuduhan membunuh terhadap bekas presiden yang digulingkan, Hosni Mubarak, berhubung pembunuhan penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat pada 2011.

Menurut laporan Al Jazeera, mahkamah itu juga membebaskan Mubarak daripada satu pertuduhan rasuah melibatkan eksport gas ke Israel.

Bagaimanapun, Mubarak, 86, kekal dalam penjara kerana sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun susulan kes rasuah berasingan.
Sementara itu, mahkamah sama turut menggugurkan tuduhan terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly dan enam pegawai keselamatan lain daripada tuduhan salah laku di atas kematian penunjuk perasaan, tiga tahu lalu.

Mubarak dan al-Adly sebelum ini disabitkan atas konspirasi membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Jun 2012, tetapi perbicaraan semula diperintahkan tahun lepas.

Lemas dalam tanah

Oleh Junaidi Ladjana

junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Seorang pekerja binaan maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah sedalam dua meter di sebuah tapak pembinaan di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sepanggar, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 30-an tertimbus hingga paras leher akibat runtuhan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Afendi K Ramin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.40 petang sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.

"Bomba terpaksa mengali runtuhan terbabit untuk mengeluarkan mangsa dan pihak pramedik Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

 "Punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:06 PM

ANGGOTA bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tertimbus. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12872#sthash.kWnd7xHn.dpuf

Pencuri kena balut


Santiago: Seorang lelaki yang cuba merompak warga emas menggunakan pisau menerima padah apabila orang ramai yang berang dengan perbuatannya menangkap dan mengikatnya separuh bogel di tiang lampu.

Valentino Abeyta Barrera, 32, didakwa cuba merompak mangsa yang juga pesara dan apabila kejadian itu disedari orang ramai, mereka menahan dan terus memukulnya.

Mereka juga mengoyak baju dan menarik seluar Barrera sebelum mengikatnya pada sebatang tiang lampu di Santiago.

Polis yang tiba 20 minit selepas itu kehairanan dan bertanyakan kejadian itu kepada Barrera, namun dia enggan berkata apa-apa sebaliknya hanya merayu dilepaskan.

Ketika di balai polis, Barrera menolak untuk memfailkan aduan dan polis terpaksa membebaskannya kerana warga emas yang cuba dirompak itu juga tidak membuat sebarang laporan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:06 AM

PENCURI diikat separuh bogel apabila cuba merompak warga emas guna pisau.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12977#sthash.6iaUXZW6.dpuf

Tumbuk datuk sampai mati

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

am@hmetro.com.my

Seremban: Hanya kerana permintaan wang daripada ibu tidak diberikan, seorang lelaki berusia 21 tahun menumbuk muka datuk saudaranya hingga mati ketika lelaki itu mahu meleraikan pergaduhan antara dua beranak berkenaan di sebuah rumah di Lorong 6, Taman Seri Pagi, Senawang, di sini, petang semalam.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suspek yang bekerja di Kuala Lumpur pulang ke rumahnya di daerah ini untuk meminta wang daripada ibunya, namun tidak diberikan.

Katanya, berang apabila permintaan tidak dipenuhi, suspek yang juga anak sulung daripada dua beradik memarahi ibunya sebelum datuk saudaranya berusia 60-an yang berada di rumah itu cuba meleraikan pergaduhan.

"Kerana marah datuk saudara mencampuri urusannya, suspek bertindak ganas menumbuk muka mangsa. Suspek yang kebetulan mempunyai sakit jantung mati di rumah berkenaan," katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:09 AM

MAYAT mangsa terbujur di ruang tamu rumah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12999#sthash.IaeVFxJB.dpuf

Tak sangka langgar abang

Oleh Syazwan Msar

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang lelaki tidak menyangka mangsa kemalangan yang dilanggarnya sehingga maut adalah abang kandungnya dalam kejadian membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 23 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, berhampiran Jambatan Sungai Atong, dekat sini, semalam.

Malah, Azhar Husin, 32, dari Kampung Melayu, Sungai Lembing, dekat sini, hanya menyedari mangsa adalah abangnya Azhari 37, selepas mengecam motosikal Yamaha LC milik mangsa yang berada di tengah jalan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku jam 2 petang apabila Azhari yang menetap di Kampung Jelihang, Sungai Lembing, dekat sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan menunggang motosikal.

Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai terlanggar belakang kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 26 tahun menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan.

"Mangsa yang bekerja sebagai pembantu am rendah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dilanggar dan diseret kereta Perodua Myvi dipandu Azhar yang datang dari arah Sungai Lembing menuju ke bandar ini.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:12 AM

ORANG ramai memantu mengangkat mayat Azhari yang terbabit nahas di Jambatan Sungai Atong, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13021#sthash.3cZeFNeT.dpuf

Laluan tutup 10 jam angkara treler terbalik


Pekan: Ribuan pengguna jalan raya terpaksa menggunakan laluan alternatif apabila sebuah treler muatan baja terbalik dan melintang di tengah jalan di Kilometer 52 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Paloh Hinai, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu turut menyebabkan laluan berkenaan ditutup hampir 10 jam apabila lalu lintas di kedua-dua arah ditutup sementara menunggu treler berkenaan dialihkan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku apabila treler yang dipandu G Subramaniam, 60, dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Palong, Negeri Sembilan, terbabit kemalangan.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum treler itu terbabas ke kanan jalan menyebabkannya terbalik dan melintang di tengah jalan.

Katanya, ia menyebabkan sebahagian muatan baja bertaburan di atas jalan.

“Ketika kejadian, tiada kenderaan lain yang melalui laluan berkenaan. Tindakan pantas pemandu yang menghubungi polis dan memberi isyarat kepada pengguna jalan raya lain mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, pengguna jalan raya dari arah Kuantan ke Segamat terpaksa menggunakan laluan alternatif iaitu melalui Jalan Ganchong-Pekan.

Manakala, pengguna dari arah Segamat menghala ke Kuantan pula terpaksa menggunakan laluan Paloh Hinai-Pekan.

“Laluan dibuka semula kira-kira jam 1 tengah hari tadi (semalam) selepas treler dan muatan baja itu dialihkan,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, Subramaniam dan kelindannya S Gunasakaram, 38, hanya cedera ringan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Pekan, di sini.

“Polis mengambil keterangan daripada pemandu treler dan saksi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati keadaan jalan dan cuaca adalah baik ketika kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:15 AM

TRELER sarat muatan baja terbalik di tengah jalan di Kilometer 52 Jalan Kuantan-Segamat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13036#sthash.E0aLbwWq.dpuf

Rempuh lori tong gas

Oleh Zulfa Mohamad

am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Jawi di sini, kelmarin, dipercayai mengantuk menyebabkannya gagal mengawal kenderaan itu sebelum merempuh belakang lori gas.

Kemalangan jam 11.35 malam itu menyebabkan tiga individu termasuk pemandu bas cedera parah manakala tujuh lagi cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan membawa 26 penumpang selain pemandunya berusia 30-an serta pemandu kedua.

Bas ekspres berkenaan pula dalam perjalanan dari Perlis ke Johor Bahru, Johor.

“Pemandu terbabit dipercayai mengantuk sehingga gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang lori gas sebelum terbabas ke longkang di kiri jalan.

“Akibat rempuhan, pemandu bas terbabit tersepit manakala dua penumpang cedera parah,” katanya, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:15 AM

SEMBILAN penumpang cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori berhampiran Sungai Bakap.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13038#sthash.l7tziL0x.dpuf

Temui ajal pulang dari masjid


Pekan: Seorang lelaki yang ingin pulang selepas menunaikan solat Asar di masjid maut selepas dilanggar motosikal di Kilometer 22, Jalan Pekan-Batu Balik, berhampiran Kampung Al-Ayubi, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan Nazihar Abu Bakar, 57, dari Kampung Al-Ayubi meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku apabila motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggangi Saiful Hafizi Abdul Rahim, 23, dalam perjalanan dari Paloh Hinai menuju ke bandar ini.

“Nazihar yang menunggang motosikal Honda Wave mahu menyeberang memasuki simpang ke Kampung Al-Ayubi selepas selesai solat Asar di Masjid Jamek Mukim Temai, dekat sini.

“Ini menyebabkan Saiful Hafizi gagal mengelak motosikal Nazihar menyebabkan kedua-dua kenderaan bergesel menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, Nazihar parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang tiba lima minit kemudian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan, di sini, untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian. Saiful Hafizi dihantar ke hospital sama berikutan cedera di kaki kanan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mungkin tidak menyedari motosikal ditunggangi Saiful Hafizi menyebabkannya melintas jalan secara terburu-buru.

“Mangsa juga tiada lesen memandu dan tidak memakai topi keledar. Manakala, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan dan cuaca baik,” katanya.

Mohamad Noor berkata, pihaknya mengambil keterangan daripada saksi dan mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:15 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13040#sthash.xxWabTeV.dpuf

Beli senjata daripada ‘Boss’

 Oleh Junaidi Ladjana

junaidi_ladjana@hmetro.com.my
Kota Kinabalu:Penahanan penyelia hotel bajet membawa kepada penemuan pelbagai senjata api tiruan termasuk pelancar roket disembunyikan di rumah dipercayai stor penyimpanan di Taman BDC Kolombong Inanam, di sini.

Dalam serbuan jam 10.30 malam Khamis lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu menemui 32 kelopak peluru tiruan, satu plastik berisi peluru getah 112,000 butir, bom asap (14), gas hijau (43), satu pelancar dan tujuh peluru roket, tujuh pistol dan tujuh bom tangan.

Semua senjata api tiruan yang dirampas ini bernilai lebih RM45,000 dengan harga pasaran RM1,000 hingga RM1,600 seunit.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat jam 10.30 malam 27 November lalu, polis melakukan serbuan ke atas kenderaan jenis Toyota Prado TZ berwarna perak di tepi jalan di Lido, di sini.

“Dalam serbuan itu, polis menahan lelaki berusia 30 tahun dan pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek menemui satu laras senjata api tiruan jenis raifal sniper model M40 warna hitam di tempat duduk belakang.

“Hasil soal siasat ke atas suspek mendedahkan masih terdapat beberapa lagi senjata api tiruan disembunyikan di rumahnya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:16 AM


SEBAHAGIAN senjata api tiruan termasuk pelancar roket yang dirampas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13047#sthash.cmdjff7Z.dpuf

Gagal lari lepas tayar rosak

Johor Bahru: Empat penjenayah termasuk tiga wanita ditahan polis selepas dikejar sejauh lima kilometer sebaik melarikan kereta milik warga emas di Jalan Serampang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi, enam penjenayah terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex.
Penjenayah mencederakan lelaki warga emas berusia 75 tahun sebelum melarikan Perodua Kenari milik mangsa.
Mangsa cedera di leher dan patah tulang rusuk kanan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, hasil maklumat mangsa, kereta peronda polis yang melakukan rondaan cegah jenayah mengesan Hyundai Starex berkenaan di sekitar Majidee.
“Suspek diarahkan berhenti namun terus memecut sebelum Hyundai Starex berkenaan terhenti di Jalan Bunga Ros, Majidee selepas kedua-dua tayar depan rosak.
“Tayar rosak selepas penjenayah merempuh beberapa kenderaan awam di laluan itu dalam usaha melarikan diri,” katanya.
Menurut Sulaiman, daripada enam penjenayah yang menaiki Hyundai Starex itu, tiga wanita ditahan di lokasi kejadian manakala tiga lagi melarikan diri.
Sulaiman berkata, pihaknya melancarkan Ops Kesan dan seorang daripada tiga suspek yang bebas ditahan di lokasi berhampiran ketika menyembunyikan diri.
“Seorang daripada dua suspek yang bebas sempat melarikan kereta Toyota Vios milik wanita berusia 45 tahun di Jalan Antoi, Majidee selepas memperdayakan mangsa.
“Suspek mendakwa ada orang mahu membunuhnya, selain meminta air kerana haus. Mangsa meninggalkan keretanya di luar rumah masuk untuk memaklumkan anaknya,” katanya.
Menurutnya, ketika keluar dari rumah, mangsa mendapati Toyota Viosnya tiada.
Menurut Sulaiman, siasatan awal mendapati Hyundai Starex dinaiki penjenayah dilaporkan hilang di Yong Peng, Batu Pahat baru-baru ini.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:17 AM


KERETA curi yang digunakan penjenayah sebelum ditahan polis.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13053#sthash.2F3nKLAY.dpuf