Kemalangan yang berlaku dekat Bedong, pagi semalam membabitkan tiga kenderaan.
Kemalangan yang berlaku dekat Bedong, pagi semalam membabitkan tiga kenderaan.
SUNGAI PETANI - Hasrat seorang tukang masak yang mahu menggunakan perkhidmatan kereta api untuk pulang ke kampung halaman di Patani, Thailand tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan, dekat Bedong, pagi semalam.

Araming Dusong, 34, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran tomyam di Sungai Lalang maut sebelum sempat menaiki kereta api untuk pulang menjenguk isterinya yang baru selesai berpantang melahirkan anak mereka di Kampung Yarang, Patani.

Araming bersama adiknya dikenali, Faizu, 22, dan abangnya dikenali Mat Saidi, 36, bersama tiga lagi pekerja restoran sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Petani ke Gurun apabila kenderaan yang dinaiki hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Kenderaan yang dinaiki enam mangsa itu kemudian bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan yang membawa muatan lima pekerja kilang sedang dalam perjalanan dari arah Gurun mahu mengambil pekerja di Sungai Lalang.

Bagaimanapun, enam mangsa termasuk seorang pemandu van hanya mengalami kecederaan ringan.

Selain Araming, dua lagi mangsa yang turut berada dalam kenderaan sama cedera parah akibat tersepit, sementara tiga lagi hanya cedera ringan.

Dalam masa sama, sebuah kenderaan lain yang berada di belakang van dipandu seorang wanita dalam perjalanan dari arah Gurun ke Sungai Petani turut terbabas, namun, hanya mengalami cedera ringan.

Nahas membabitkan dua kereta dan sebuah van kilang itu berlaku di simpang tiga Jalan Alor Setar-Butterworth berhadapan sebuah hotel di Bedong, kira-kira 6.45 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin mengesahkan kejadian.

Menurutnya, setakat ini, seorang meninggal dunia, dua cedera parah dan 10 lagi cedera ringan membabitkan tiga kenderaan.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat,” katanya.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, Araming bersama lima lagi mangsa mahu pulang ke kampung mereka untuk bercuti kerana bekerja pada Aidiladha lalu.

“Mereka cuba untuk menaiki kereta api di Stesen KTM Sungai Petani namun tidak sempat berbuat demikian dan cuba berpatah balik untuk ke Stesen KTM Gurun pada masa sama,” katanya.

Kesemua warga Thailand itu bekerja di sebuah restoran tomyam di Sungai Lalang yang dibuka sejak beberapa tahun lalu.