Nik Mohamad (kiri) dan Mohd Faris menunjukkan bahagian tabung yang diketuk dua
remaja yang berusia 16 tahun itu di Kampung Batu Balai.
Nik Mohamad (kiri) dan Mohd Faris menunjukkan bahagian tabung yang diketuk dua remaja yang berusia 16 tahun itu di Kampung Batu Balai.
KUALA KRAI - Dua remaja berjaya ditangkap penjaga Masjid Batu Balai ketika sedang mengumpil tabung masjid, Selasa lalu.

Kejadian disedari penjaga masjid, Mohd Faris Nor yang ketika itu sedang membersihkan persekitaran dan juga menyiram bunga.

Sebelum ini Mohd Faris pernah melihat kedua-dua remaja berkenaan di persekitaran masjid dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sebaik melihat kedua-dua remaja berusia 16 tahun itu masuk ke pekarangan masjid dengan menaiki sebuah motosikal, Mohd Faris segera keluar untuk mencari rakannya.

Apabila masuk semula, kedua remaja itu sedang berusaha mengeluarkan wang dari tabung masjid.

“Kami kemudiannya berjaya menangkap mereka.

“Kami mendapati bahagian lubang tabung telah diketuk bagi membolehkan mereka mengambil wang,” katanya kepada Sinar Harian pagi semalam.

Mohd Faris berkata, ini bukan kali pertama kes berlaku di masjid tersebut.

Sementara itu, Penghulu Batu Balai, Nik Mohamad Nik Hassan meminta penduduk kampung supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan kediaman masing-masing.

Menurutnya, sekiranya tidak ada peluang, penjenayah tidak dapat bertindak.

“Jadi saya mohon penduduk agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengunci pintu pada setiap masa.

“Jumaat lalu seorang penduduk menjadi mangsa ragut di kediamannya sendiri dan kini cubaan pelajar mengambil wang dari tabung masjid pula,” katanya.

Nik Mohamad juga meminta kerjasama ibu bapa supaya sentiasa mengambil tahu aktiviti harian anak masing-masing.

Katanya, sekiranya anak berada dalam keadaan curiga, ibu bapa perlu menyelidik puncanya.

“Saya sebagai pemimpin setempat berharap ibu bapa mengawasi dan memantau kegiatan anak masing-masing.

“Sekiranya anak membawa pulang wang atau barangan yang tidak munasabah, minta siasat agar anak tidak terlibat dengan gejala tidak diingini,” katanya.

Kedua-dua pelajar itu ditangkap dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Jumaat lalu suri rumah kerugian RM700 apabila rantai emas miliknya dilarikan seorang lelaki di kampung tersebut.

Kejadian turut menyebabkan ibu kepada seorang anak itu cedera pada pergelangan tangan.