Search This Blog

Friday, October 17, 2014

Polis tahan lima individu

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN
KHALID ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Polis menahan lima individu bagi membantu siasatan kes letupan bom tangan di hadapan Sun Kompleks, Bukit Bintang pada 9 Oktober lalu.
Difahamkan, kesemua suspek tersebut ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dan dipercayai polis akan menahan lebih ramai suspek dalam masa terdekat.
Kesemua mereka kini ditahan reman sehingga Isnin depan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar percaya penahanan kesemua individu berusia antara 25 sehingga 44 tahun tersebut semalam dapat membantu polis mendapat petunjuk positif dalam kes tersebut.
"Penahanan kesemua suspek ini dipercayai dapat membantu kita memburu pihak yang bertanggungjawab.
"Setakat ini, biar kami siasat dahulu, sampai masa kami akan maklumkan perkembangan kes ini," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada majlis pelancaran Pasukan Polis Bantuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.25 pagi, akibat pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap, seorang maut sementara 12 lagi termasuk empat pelancong asing cedera akibat terkena letupan salah satu daripada dua butir bom tangan yang dilemparkan di hadapan kelab malam tersebut.
Kedua-dua bom tersebut dipercayai dibaling dari tingkat dua bangunan hotel berkenaan yang merupakan tempat letak kenderaan namun bom pertama yang dibaling tidak meletup dan bergolek di bawah sebuah kereta Toyota Camry, kemudian bom kedua yang dibaling meletup dan menyebabkan seorang maut dan 12 lagi cedera.
Mengulas pelancaran majlis Pasukan Polis Bantuan UIAM hari ini, jelas Khalid, 99 anggota daripada 304 perjawatan polis bantuan UAIM diserapkan ke jawatan itu, terbahagi kepada lima pangkat iaitu asisten supritendan (ASP), inspektor, sarjan, koperal dan konstabel.
"Dengan adanya polis bantuan ini, kita yakin mereka dapat mengawal dan memantau sekitar kawasan kampus selain sebagai langkah penguatkuasaan di dalam kawasan ini dalam usaha memerangi anasir-anasir luar yang boleh mengganggu keharmonian kampus.
"Kesemua anggota yang dilantik ke perjawatan ini akan ditempatkan di tiga buah negeri iaitu melibatkan kampus Gombak dan Petaling Jaya di Selangor; kampus Kuala Lumpur di Jalan Duta dan Damansara, serta di Pahang melibatkan kampus Bandar Indera Mahkota dan Gambang," katanya lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141017/je_01/Polis-tahan-lima-individu#ixzz3GLyDkzMv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment