KOTA BHARU - Seorang penjaga sebuah rumah tumpangan dikenakan hukuman denda RM10,000 selepas mengaku salah atas tuduhan menyimpan barangan rompakan, di mahkamah sesyen, Kota Bharu di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Rosman Mat Nasir, 40, dari Kampung Kuala Semerak, Pasir Puteh. Hukuman penjara setahun berkuat kuasa jika denda itu gagal dijelaskan.

Tertuduh didakwa menyimpan harta curi iaitu beg dompet wanita berjenama; dua jubah perempuan dan dua beg tangan berjenama, kepunyaan Nor Asuwah Ibrahim, 47, di bilik sebuah rumah tumpangan di Kampung Air Tawar, Cherang Ruku, Pasir Puteh, pada jam 2 petang, 9 Ogos lalu.

Tertuduh sebelum itu, menerima barangan rompakan daripada dua rakan wanitanya yang merompak butik pengantin milik mangsa.

Pada prosiding itu, tertuduh diwakili peguam, Mohd Faizal Hazim Abdul Rahman, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari.

Dalam rayuannya tertuduh memohon hukuman ringan kerana dia insaf atas kesalahannya itu, bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Kelmarin, Rosman mengaku salah atas tuduhan tersebut dan bersamanya dua wanita, Nurul Suhada Jusoh, 26, tukang masak dari Felda Bukit Sagu, Kuantan, Pahang dan Sumiyyah Razali, 22, seorang jurujual di sebuah pasar raya dan beralamat di Jalan Gambang, Kuantan, Pahang, mengaku tidak salah atas tuduhan merompak sebuah butik pengantin milik Nor Asuwah.

Dua wanita berkenaan didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, merompak berkumpulan dengan senjata pistol dan parang ke atas Nor Asuwah di sebuah rumah kedai, di Kampung Landak, di sini, pada jam 10.05 malam, 21 Julai lalu.