Search This Blog

Friday, October 24, 2014

Parah ditetak rakan sekampung


WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Oktober 2014


KUALA TERENGGANU - Gara-gara dendam lama, seorang lelaki parah ditetak dengan sebilah parang oleh rakan sekampungnya, dalam satu kejadian di Kampung Raja, Besut, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa, 39, turut dibelasah dipercayai menggunakan dua batang kayu sehingga mengalami pendarahan teruk.

“Setengah jam sebelum insiden ngeri ini berlaku, mangsa dipercayai ada diganggu dan telah pun dibelasah oleh tiga lelaki termasuk seorang dikenali iaitu suspek utama, 36, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gong Tok Pek, Besut.

“Mungkin disebabkan masih tidak berpuas hati, ketiga-tiga suspek termasuk suspek utama itu menyimpan dendam dengan mengambil tindakan menyerang mangsa di rumahnya pula,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Wan Abd Aziz berkata, mangsa bernasib baik apabila keadaannya yang terbaring lesu akibat dibelasah dan ditetak itu disedari adik perempuannya, 29, yang secara kebetulan berada di rumah semasa kejadian.

“Adik perempuan mangsa yang juga seorang suri rumah terdengar bunyi bising di luar rumah sebelum segera keluar dan ternampak mangsa yang berlumuran darah sedang terbaring mengerang kesakitan.

“Terkejut dengan situasi itu, adik perempuannya segera mendapatkan bantuan jiran tetangga dengan menghantar mangsa ke Hospital Jerteh untuk rawatan susulan sebelum bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang giat memburu suspek termasuk suspek utama yang dipercayai berasal dari kampung berkenaan bagi tindakan susulan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

No comments:

Post a Comment