Search This Blog

Monday, October 20, 2014

Operasi cari mangsa ribut salji di Himalaya ditamatkan

ISNIN, 20 OKTOBER 2014 @ 4:29 PM

 
KATMANDU: Nepal menamatkan operasi menyelamat di kawasan pergunungan Himalaya selepas semua pendaki yang terkandas berjaya diselamatkan berikutan terperangkap dalam ribut dan runtuhan salji petang semalam.

Sekurang-kurangnya 38 orang, termasuk pendaki dari Kanada, India, Israel, Slovakia, Poland dan Jepun maut dalam ribut salji dan runtuhan yang menyapu bersih kawasan pergunungan Himalaya, minggu lalu.

Yadav Koirala dari Bahagian Pengurusan Bencana Nepal berkata, helikopter penyelamat mengadakan penerbangan terakhirnya di Daerah Mustang, Manang dan Dolpa, hari ini.

Semua mangsa yang cedera kini berada di ketiga-tiga daerah berkenaan yang terletak di timur laut ibu negara, Katmandu.



"Kami percaya semua pendaki dan pemandu mereka sudah berjaya diselamatkan dan setahu kami tidak ada sesiapa lagi terkandas di kawasan terbabit," kata Koirala.

Setakat ini, 34 mayat sudah pun dikenal pasti dengan sebahagian besar diterbangkan ke pekan berdekatan atau Katmandu untuk proses bedah siasat.

Anggota penyelamat membawa keluar mayat sembilan pengangkut barangan dari cerun gunung.

Mayat terbabit dikesan sehari sebelumnya oleh helikopter penyelamat, tetapi ia mengambil masa berjam-jam lamanya bagi penyelamat berjalan kaki ke tempat mayat dijumpai. - AP


Gambar yang dikeluarkan oleh tentera Nepal menunjukkan helikopter tentera menyelamatkan mangsa ribut salji di daerah Manang di kawasan pergunungan Himalaya pada 15 Oktober lalu. - Foto AFP

No comments:

Post a Comment