Search This Blog

Thursday, October 16, 2014

Motif lelaki ditembak masih disiasat


KOTA BHARU 15 Okt. - Polis masih menyiasat motif kejadian seorang lelaki cedera ditembak oleh dua lelaki bertopeng yang menunggang motosikal di Berek 12 di sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata, siasatan dibuat dalam semua aspek termasuk mengumpul maklumat daripada keluarga mangsa dan sumber lain.
Beliau juga menegaskan, mangsa, Syed Zainudin Syed Noh bertugas sebagai seorang pengawal di sebuah pusat beli belah, bukan di istana sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
"Mangsa kini dilaporkan stabil namun masih mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II.
"Selain memperketatkan perlindungan di hospital, kita juga memberi perlindungan kepada keluarga mangsa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rosli dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil bagi membantu siasatan polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin, Syed Zainudin, 52, yang sedang menunggang motosikal pulang ke rumah cedera parah di bahagian kiri perut dan belakang selepas ditembak dua penunggang motosikal bertopeng.
Meskipun terkena dua das tembakan, mangsa dikatakan terus menunggang motosikal beberapa meter dari tempat kejadian sebelum rebah akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Sementara itu, keluarga mangsa enggan memberikan sebarang komen berhubung kejadian tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141016/je_05/Motif-lelaki-ditembak-masih-disiasat#ixzz3GGDO0uxf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment