Adun Senawang, P Gunasekaran melawat kedai milik Aridass (kiri) yang diserang lima penjenayah, semalam.
Adun Senawang, P Gunasekaran melawat kedai milik Aridass (kiri) yang diserang lima penjenayah, semalam.
SEREMBAN - Baru lima hari memulakan perniagaan, sebuah kedai makan di Taman Tasik Jaya, di sini didatangi lima penjenayah bertopeng bersenjatakan parang, semalam.

Penjenayah terbabit bagaimanapun bukan mahu menyamun, sebaliknya bertindak samseng memecahkan barangan dalam kedai dan mengugut pemilik kedai  supaya tidak menjalankan perniagaan di situ.

Kejadian kira-kira 6 pagi itu turut menyebabkan pemilik kedai mengalami kerugian dianggarkan RM50,000 apabila banyak barang dan peralatan rosak.

Menceritakan kejadian, pemilik kedai, Aridass Velu, 66, berkata, dia dikejutkan dengan kehadiran penjenayah yang meluru masuk ke kedainya ketika dia dan enam pekerja sedang bersiap-siap memulakan perniagaan.

"Kedai ini dibuka setiap hari bermula 7 pagi hingga 7 petang. Saya diberi tanggungjawab oleh adik saya untuk menjaga kedai ini.

“Biasanya, saya dan pekerja akan datang awal bagi membuat persiapan sebelum kedai dibuka. Tapi, pagi tadi (semalam) lima penjenayah itu datang dan paling menakutkan semuanya bawa parang,” katanya.

Menurutnya, penjenayah itu masuk ke kedainya menerusi pintu hadapan sebelum bertindak ganas memecahkan barangan di kedainya.

“Mereka merusuh seperti gengster dan sangat menakutkan. Saya dan pekerja langsung tidak melawan dan kami terus lari ikut pintu belakang untuk menyelamatkan diri.

"Saya juga terdengar penjenayah itu menjerit memberi amaran supaya saya tidak menjalankan perniagaan di situ, sebelum mereka melarikan diri," katanya di sini, semalam.

Aridass berkata, dia tidak mengesyaki sesiapa yang terbabit dalam kejadian itu.

“Saya tak mempunyai masalah dengan sesiapa dan tidak pernah terlibat dengan ah long. Walaupun menakutkan, saya tetap akan berniaga di sini kerana ini sumber pendapatan kami sekeluarga," katanya.

Berikutan kejadian itu, Aridass membuat laporan di Balai Polis Senawang, semalam.