Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Lelaki Afrika Selatan didakwa miliki senjata api


JULIUS KATZKE
ALOR SETAR 2 Okt. - Seorang lelaki warga Afrika Selatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki tujuh laras raifal dan 1,305 butir peluru hidup tanpa permit yang sah di dalam sebuah kapal mewah berhampiran Jeti Kuah, Langkawi, bulan lalu.
Julius Katzke, 47, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ibrahim Osman.
Bagi pertuduhan pertama, Julius didakwa memiliki tujuh laras raifal di dalam dua kotak plastik hitam tanpa permit yang sah di atas sebuah kapal bernama Mischief di Pontoon A25, Royal Langkawi Yacht Club, Jalan Datuk Syed Omar, Kuah, Langkawi kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 18 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali.
Katzke turut didakwa memiliki 1,305 butir peluru hidup pelbagai jenis dan saiz tanpa permit yang sah pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azlena Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Zuriyah Mohd. Nordin.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 14 November ini.
Pada 21 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki warganegara Afrika Selatan dan seorang wanita warganegara Thailand ditahan di atas sebuah kapal mewah berhampiran Jeti Kuah, Langkawi kerana disyaki memiliki senjata api.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141003/ma_01/Lelaki-Afrika-Selatan-didakwa-miliki-senjata-api#ixzz3F2LDHBeV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment