Search This Blog

Friday, October 17, 2014

Kanak-kanak ditemui di Persiaran Gurney

GEORGETOWN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia antara satu hingga dua tahun ditemui berseorangan di Jalan Persiaran Gurney berhadapan Hotel Gurney di sini malam tadi.
Kanak-kanak dengan ketinggian 0.87 meter itu yang memakai sepasang baju Melayu berwarna biru ditemui berkeliaran di kawasan itu oleh orang awam pada jam 11 malam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis belum menerima aduan berhubung kehilangan kanak-kanak dalam tempoh lebih 12 jam selepas kanak-kanak itu dijumpai.
"Kami juga gagal mendapatkan sebarang maklumat daripada kanak-kanak itu kerana dia tidak bercakap sejak semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kanak-kanak itu berada dalam keadaan sihat dan hanya terdapat bekas gigitan nyamuk pada pipi kirinya.
Kanak-kanak itu akan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.
Mior Faridalathrash meminta waris atau individu yang mengenali kanak-kanak itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment