Mohd Mokhtar melihat barangan yang dirampas dalam serbuan di Muar, Ahad lalu.
Mohd Mokhtar melihat barangan yang dirampas dalam serbuan di Muar, Ahad lalu.
JOHOR BAHRU - Polis berjaya merampas 14.3 kilogram dadah dipercayai jenis ketamin bernilai RM1.7 juta hasil serbuan dan penahanan empat individu di sebuah rumah di Muar Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, tiga wanita dan seorang lelaki tempatan yang ditahan dipercayai terlibat dalam pemprosesan dan pengedaran dadah di negeri ini.

Menurutnya, keempat-empat suspek yang berusia 16 hingga 74 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Kampung Tengah Jeram, Muar kira-kira jam 2.30 petang.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dan merampas 14.3 kilogram dadah dipercayai jenis ketamin bernilai RM1.7 juta dan turut merampas bahan kimia, pelbagai jenis peralatan untuk memproses dadah dan wang tunai berjumlah RM69,000.

“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Ahad ini untuk bantu siasatan.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada rumah berkenaan dijadikan makmal untuk memproses dadah atau tidak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, daripada jumlah rampasan dadah berkenaan boleh digunakan lebih kurang 48,000 orang jika terlepas ke pasaran.

Menurutnya, seramai 16,449 daripada 34,327 orang yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah sepanjang Januari tahun ini hingga Isnin lalu,

Menurut, seramai 4,458 orang pula ditahan kerana disyaki mengedar dadah, manakala 11,922 orang disyaki penagih dan 69 orang lagi ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 331.7 kilogram dadah berjaya dirampas dengan melibatkan nilai RM22.13 juta, selain nilai sitaan harta yang berjumlah RM9.7 juta,” katanya.