• Mayat mangsa yang terjatuh dari tingkat 13, Pangsapuri Desa Ixora di sini, pagi semalam.Mayat mangsa yang terjatuh dari tingkat 13, Pangsapuri Desa Ixora di sini, pagi semalam.

GEORGETOWN - Seorang wanita yang dipercayai mengalami tekanan perasaan maut selepas terjatuh dari tingkat 13, sebuah pangsapuri di Air Itam di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa cedera di kepala, tulang rusuk dan patah kaki serta maut di tempat kejadian.

Menurut anak mangsa, Tan Sow Ling, 27,  ibunya, Lim Ah Eng kelihatan murung dan sering mengadu sakit kepala sejak kebelakangan ini. “Mama, pernah beritahu bapa dia tidak sanggup menahan sakit migrain yang semakin teruk.

“Kami sekeluarga, masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis bergegas ke sana selepas menerima panggilan dan mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring dan berpakaian lengkap.

Beliau berkata, hasil temubual dengan ahli keluarga, ketika kejadian mangsa didapati tinggal bersama suami dan dua anaknya.

Pada awalnya, mangsa mengadu mengalami migrain kepada suami kerana tidak mampu lagi untuk menahannya.

“Difahamkan, semasa suami pergi ke dapur, mangsa membuka pintu bertindak keluar dari rumah terus memanjat kerusi lalu terjatuh dari tingkat tersebut,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian manakala mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.