KUALA LUMPUR - Sindiket dadah sanggup melakukan apa sahaja untuk menyeludup masuk bahan terlarang itu ke negara ini.

Ini termasuk menggunakan syarikat kurier melalui penghantaran barang elektrik berupa mesin pengurut kaki dan pemanas air.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid berkata, ini kali pertama pihaknya mengesan kaedah berkenaan digunakan untuk menyeludup masuk dadah.

“Kedua-dua kaedah ini dikesan selepas JSJN menyerbu (premis) dua syarikat perkhidmatan kurier di Subang Jaya,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan Rabu dan Khamis lalu, pihaknya berjaya merampas lima bungkusan kargo udara. Syabu berkenaan disembunyikan dalam dua buah jenis mesin berkenaan.

"Setiap satu peralatan itu mengandungi syabu yang dibungkus dengan kertas aluminium masing-masing seberat 1.27 kilogram dan 4.06 kilogram, tiada suspek yang ditahan," katanya.

Beliau percaya, sindiket berkenaan menyeludup dadah itu dari China dan Hong Kong.

Menurutnya, dari 8 September hingga 13 September, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga lagi kes membabitkan cubaan menyeludup syabu  membabitkan beberapa pusat perkhidmatan kurier dan satu kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Jumlah keseluruhan syabu seberat 22 kilogram dianggarkan bernilai RM5 juta,” katanya.

Kata Noor Rashid, polis akan menjalinkan kerjasama rapat dengan syarikat perkhidmatan kurier di negara ini bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah.