Search This Blog

Friday, September 5, 2014

Rasuah: Bekas Pengerusi PIBG minta dibicarakan

KHAMIS, 4 SEPTEMBER 2014 @ 10:38 AM

 
ALOR SETAR: Seorang bekas Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan nilai RM1,800 yang didakwa dilakukannya tahun lalu.

Tertuduh, Noor Fazli Osman, 49, yang bekerja sebagai penoreh getah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Ibrahim Osman dan meminta dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, Noor Fazli pada jam 10 pagi 6 Jun tahun lalu, di Taman Cengkih di Tokai, dekat sini, ketika menjawat kedudukan Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah di Pendang, didakwa meminta rasuah RM1,800 daripada seorang kontraktor sebagai upah kepada dirinya selepas meminta Mohd Zaki Ismail melakukan kerja pendawaian elektrik di sekolah terbabit.

Bagi pertuduhan kedua pula, Noor Fazli didakwa menerima suapan RM1,800 bagi tujuan sama yang dilakukannya di Balai Polis Simpang Empat Kangkong, dekat sini, pada jam 2.10 petang, 19 Jun tahun lalu.



Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syahrul Khuzaini Amiruddin, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap kesalahan dan 9 Oktober depan sebagai tarikh sebutan kes.

No comments:

Post a Comment