Search This Blog

Thursday, September 11, 2014

Polis tumpas geng peras ugut 'Toh Poi'


10 September 2014

BALIK PULAU - Polis menumpaskan geng 'Toh Poi' yang disyaki aktif memeras ugut pengurus kilang dan ahli perniagaan di sekitar daerah Barat Daya, di sini selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di Butterworth, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata tiga lelaki berusia 28 hingga 55 tahun yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan peras ugut sejak empat tahun lepas itu ditahan pada jam 6.45 petang.

"Tiga lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu mencari mangsa melalui kad perniagaan serta iklan dalam surat khabar sebelum menghubungi mereka dan meminta wang perlindungan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket itu mengugut dengan hanya menghubungi mangsa melalui telefon bimbit yang didaftarkan atas nama rakyat asing dan menggunakan nombor yang berbeza bagi setiap mangsa.

"Mereka mengugut untuk mengganggu atau membunuh anggota keluarga mangsa jika enggan membayar wang perlindungan yang ditetapkan antara 3,000 hingga 50,000. Setakat ini polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurang 40 kes yang dilakukan geng itu," katanya.  

Lai berkata siasatan awal mendapati kebanyakan mangsa terdiri daripada mereka yang kaya iaitu pengurus-pengurus kilang dan ahli perniagaan di sekitar Bayan Baru, Bayan Lepas, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

Susulan penahanan tiga lelaki itu, polis merampas sembilan telefon bimbit, sim kad yang didaftar menggunakan nama rakyat asing, buku bank dan kad ATM yang digunakan mereka untuk pemerasan, katanya.

"Tiga lelaki yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau itu kini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes itu," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa kumpulan berkenaan agar tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

No comments:

Post a Comment