• Mayat bayi perempuan yang masih sempurna dan bertali pusat ditemui di sebuah sungai di Penempatan Orang Asli Pos Kemar, kelmarin.Mayat bayi perempuan yang masih sempurna dan bertali pusat ditemui di sebuah sungai di Penempatan Orang Asli Pos Kemar, kelmarin.

GERIK – Seorang lelaki terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat di sungai di Kampung Sungai Sah, Penempatan Orang Asli Pos Kemar, Tasik Banding, dekat Gerik di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Manab Baharom berkata, mayat itu ditemui kira-kira jam 2.25 petang oleh penduduk Orang Asli yang melalui kawasan jeram terbabit.
Menurutnya, bayi tersebut yang berusia kurang dari seminggu itu ditemui tersangkut pada batu di tebing sungai terbabit.
“Mayat bayi berkenaan dipercayai dibuang di tempat lain sebelum dijumpai di tempat kejadian berdasarkan aliran sungai yang berupa sebuah jeram,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abd Manab berkata, bayi malang itu dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan dipercayai mangsa mati 10 jam sebelum ditemui.

“Berdasarkan bentuk fizikal, mayat bayi tersebut adalah Orang Asli berdasarkan wajahnya. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan hingga kini belum ada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya.