Search This Blog

Friday, September 19, 2014

Manila dilanda banjir akibat hujan lebat, taufan Fung-Wong

MANILA: Hujan lebat yang turun berikutan taufan Fung-Wong mengakibatkan kebanyakan kawasan di sini mengalami banjir menyebabkan sekolah, pejabat kerajaan dan pasaran saham ditutup hari ini.
Beribu-ribu penduduk di kawasan rendah dipindahkan ke kawasan tinggi berikutan hujan berlarutan selama enam jam.
Bursa Saham Filipina menggantung urus niaga selepas kerajaan Filipina menutup pejabat dan sekolah di ibu negeri ini.
Urus niaga pada platform pertukaran wang asing elektronik juga ditutup.
Taufan Fung-Wong, dengan kelajuan angin 85 kilometer sejam dan angin kencang sehingga 100 kilometer sejam melanda bandar Casiguran di wilayah utara Aurora.
Angin kuat dijangka beredar ke timur laut pada kelajuan 22 kilometer sejam menghala ke Laut China Selatan pada tengah hari ini.
Datuk Bandar Del De Guzman berkata kira-kira 7,000 orang dipindahkan di bandaraya Marikina di timur Manila di mana sungai yang melimpah mengakibatkan banjir.
"Kami melakukan operasi untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap. Hujan terlalu lebat dan air naik dengan begitu cepat sehingga ada yang tidak sempat berpindah, " kata Guzman dalam interviu dengan stesen televisyen GMA.
Katanya, kerajaan menghantar kenderaan amfibia dan bot getah bagi membantu membawa mangsa ke tempat selamat. - REUTERS

No comments:

Post a Comment