BAGAN SERAI - Perjalanan seorang lelaki ke rumah bapa saudara atas urusan keluarga berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah motosikal lain di Jalan Ipoh-Butterworth (arah Selatan) berhadapan Kampung Sungai Bogak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.15 malam, mangsa, A Ravi, 40, berasal dari Kampung Setia, Jalan Siakap maut di tempat kejadian setelah motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggangnya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, mangsa difahamkan dalam perjalanan ke rumah bapa saudaranya di Ladang Sungai Bogak menggunakan motosikal rakannya.

Menurutnya, mangsa dikatakan berhenti di pertengahan jalan untuk memasuki persimpangan ke Ladang Sungai Bogak sebelum dirempuh sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki.

“Kesan pertembungan itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikal dinaikinya sebelum mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Sementara itu, lelaki berusia 20-an yang merempuh motosikal mangsa difahamkan cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mohd Radzuan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Katanya, ahli keluarga mangsa turut memaklumkan mangsa masih belum berkahwin dan bekerja sendiri.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Abu Ziyad Othman, 30, berkata, dia dalam perjalanan ke Taiping bersama keluarganya menaiki kereta terkejut melihat sebuah motosikal dirempuh sebuah motosikal lain.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z tercampak, manakala penunggang motosikal yang merempuhnya turut jatuh.

“Bunyi perlanggaran itu kuat dan saya segera memberhentikan kenderaan untuk melihat keadaan mangsa dan memberi pertolongan.

“Dalam masa sama, saya segera menghubungi ambulans kerana kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya.