Search This Blog

Monday, September 1, 2014

'Layanan' penyokong Perak punca rusuhan?



SEBUAH kereta peronda polis diterbalikkan oleh penyokong Sarawak yang bertindak ganas merusuh selepas perlawanan Sarawak menentang Perak di Stadium negeri Sarawak, kelmarin.
KUCHING 31 Ogos - Lima termasuk empat remaja ditahan kerana merusuh di Stadium Negeri di Petra Jaya di sini, sehingga mengakibatkan tujuh buah kenderaan polis rosak termasuk satu daripadanya musnah terbakar selain lima anggota polis cedera, malam tadi.
Kesemuanya berusia 17 hingga 20 tahun dan berasal dari Petra Jaya dan Kota Samarahan itu, direman selama empat hari sehingga 4 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, kira-kira 2,000 penyokong Sarawak merusuh sebaik sahaja tamat perlawanan bola sepak antara negeri itu dan Perak yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, sekaligus menyaksikan pasukan Ngap Sayot tersingkir dalam saingan Piala Malaysia 2014.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Fauzilan Abdul Aziz, penyokong Sarawak bertindak merusuh masuk ke dalam padang setelah merosakkan pintu pagar Zon A dan Zon B.
Katanya, mereka membakar dan membaling suar selain mercun dan objek-objek keras ke arah anggota keselamatan yang bertugas.
"Namun keadaan berjaya dikawal dengan bantuan Unit Polis Anti Rusuhan (PORU). Pada pukul 11.30 malam, kumpulan perusuh itu kembali berkumpul di hadapan pintu masuk utama stadium dan tempat letak kereta luar stadium dan merosakkan sebuah trak, Perodua Kancil (3), Proton Waja (1) dan van Toyota (1) milik Polis Diraja Malaysia.
"Ada cermin kenderaan dipecahkan dan ada pula yang diterbalikkan. Polis telah melepaskan 26 gas pemedih mata dan bom asap ke arah kumpulan itu menyebabkan mereka bersurai, namun kira-kira setengah jam kemudian mereka sekali lagi berkumpul dan bertindak membakar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Kembara," jelasnya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Difahamkan, kejadian itu adalah ekoran kemarahan penyokong Sarawak terhadap 'layanan' penyokong Perak semasa perlawanan kedua-duanya di Ipoh pada 20 Ogos lalu yang mengakibatkan lima penyokong Ngap Sayot cedera akibat dipukul.
Sementara itu, Jurucakap Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) berkata, pihaknya kesal dengan kejadian yang berlaku walaupun persediaan rapi telah dibuat.
"Anggota polis yang bertugas telah ditambahkan dan tiket juga kita tidak jual kepada penyokong Perak. Bagaimanapun, terima kasih diucapkan kepada anggota polis yang bertugas bagi memastikan keselamatan semua pihak," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140901/je_02/Layanan-penyokong-Perak-punca-rusuhan#ixzz3C0S6PSQ2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment