• Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa.Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa.

BENTONG - Seorang kelindan maut manakala pemandu parah apabila lori yang mereka naiki melanggar sebuah treler di di Kilometer 49.7 Lebuhraya Karak - Kuala Lumpur kira-kira jam 2.10 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Wan Supi Wan Deris, 49, maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan manakala Mohd Fadli Syah Mustapha, 26, parah di kepala dan dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh (Hoshas).

Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd Mansur Mohamad Nor berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Subang, Selangor untuk menghantar muatan kargo berupa bungkusan surat.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu terbabit hilang kawalan akibat mengantuk dan seterusnya melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler muatan baja seberat 24 tan yang sedang mendaki bukit di lorong sebelah kiri.

“Lokasi kejadian adalah jalan lurus dua lorong satu hala manakala cuaca ketika itu gelap tanpa lampu dan jalan kering serta tidak banyak kenderaan,” katanya.

Menurutnya, mayat Wan Supi dibawa ke Hospital Bentong manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

Mohd Mansor berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.