Search This Blog

Thursday, September 11, 2014

Enam kenderaan remuk dirempuh


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 September 2014
Sebuah kereta Perodua Alza remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Taiping, semalam.
 Sebuah kereta Perodua Alza remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Taiping, semalam. 

Lori muatan tanah merah yang terbabas dan merempuh enam kenderaan, semalam.
Lori muatan tanah merah yang terbabas dan merempuh enam kenderaan, semalam.
PARIT BUNTAR - Enam kereta termasuk dua kenderaan pelbagai guna (MPV) rosak teruk setelah dirempuh oleh sebuah lori membawa muatan tanah merah yang hilang kawalan di Kilometer 1, Jalan Taiping menghala utara,  di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, kesemua kenderaan terlibat sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Masjid Daerah Parit Buntar, di sini.

Seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia dan keluarganya yang dalam perjalanan ke sebuah bank di sini terkejut mendengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang kenderaannya.

Menurutnya, sejurus selepas dentuman tersebut, dia melihat sebuah kenderaan di belakang keretanya dirempuh hingga mengenai keretanya.

Katanya, berang dengan insiden tersebut, dia segera keluar dari kenderaannya untuk bersemuka dengan pemandu yang melanggar belakang keretanya itu.

“Bagaimanapun, saya terkejut melihat sekurang-kurangnya enam kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu dirempuh dari belakang seperti bola boling oleh sebuah lori muatan tanah merah. Kereta saya pun kena.

“Melihat asap tebal keluar dari beberapa kenderaan, saya dan pemandu lain segera menyelamatkan ahli keluarga dan lari kerana bimbang kejadian buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mangsa berkata, hairan melihat kejadian itu, dia dan pemilik kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan mahu mendapatkan penjelasan daripada pemandu lori terbabit.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori berkenaan segera meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati lori itu dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar menghala pekan lama, di sini hilang kawalan sewaktu menuruni jalan persimpangan bertingkat.

“Polis tidak menolak kemungkinan masalah kerosakan sistem brek pada lori terbabit menyebabkan ia terbabas dan melanggar enam kenderaan yang berhenti di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan polis berharap pemandu lori tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment