PASIR GUDANG - Sebuah bas sekolah rosak yang diletakkan secara tiba-tiba terbakar di Jalan Taman Masai Seri Alam, di sini kira-kira jam 2 pagi, semalam. Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Zainuddin Sabani berkata, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 pagi. Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah bas sekolah rosak terbakar hampir keseluruhan. "Seramai enam anggota terlibat memadam kebakaran kenderaan tersebut dan operasi berjaya ditamatkan pada jam 2.54 pagi. "Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Kemalangan ini tidak melibatkan kemalangan jiwa, "katanya. Sementara itu, di Kota Tinggi, kenderaan persendirian jenis daihastu Feroza turut terbakar yang dilaporkan sedang bergerak dalam kejadian di hadapan Klinik Bandar Tenggara, di sini. Kejadian jam 10.32 pagi itu berjaya dikawal anggota penyelamat kira kira sembilan minit selepas tiba di lokasi kejadian. Kenderaan dipandu seorang lelaki ini dilaporkan disedari pemiliknya menerusi bau hangit dipercayai bermula dari bahagian tayar kenderaan itu. Pihak penyiasat masih mencari punca sebenar insiden yang memusnahkan keseluruhan kenderaan itu.