• Akhirnya pencarian selama 78 tahun berakhir apabila dua beradik ini dipertemukan 16 September lalu.Akhirnya pencarian selama 78 tahun berakhir apabila dua beradik ini dipertemukan 16 September lalu.

KARANGAN - Pencarian dua beradik selama 78 tahun berakhir apabila kedua-dua mereka dipertemukan semula pada 16 September lalu.

Salmah Hassim terpisah dengan kakak sulungnya, Ng Kuan Yin, 90, apabila dia diserahkan kepada keluarga India Muslim untuk dijaga.

Menurutnya, sebelum ini dia tinggal di Karangan dan mempunyai enam adik beradik di mana empat daripadanya perempuan manakala dua lagi lelaki.

"Tok dilahirkan pada 1936 dalam keluarga Liew Chew Ngor dan disebabkan masalah kemiskinan, tok diserahkan kepada orang lain serta membesar dalam keluarga Islam.

“Tok dimaklumkan hanya saudara tok yang perempuan seramai empat orang sahaja yang masih hidup manakala dua lagi abang telah meninggal dunia," katanya.

Salmah berkata, setelah dewasa, dia berkahwin dengan Ismail Din yang ketika itu bekerja di kilang di sekitar kawasan itu.

"Hasil dari perkahwinan itu, kami telah dianugerahkan lapan anak. Pada 1989 tok cuba mencari abang dan kakak di Kupang bagaimanapun usaha tok gagal,” katanya.

Tanpa disedari Salmah, Kuan Yin yang merupakan pengusaha hotel dan tinggal di Jalan Petaling, Kuala Lumpur tidak pernah berputus asa untuk mencari adik kandungnya yang belum pernah ditemuinya sejak lahir.

Pada Ogos lalu, Salmah terkejut apabila menemui sekeping nota bersama barangan makanan di hadapan rumahnya.

"Dalam nota itu tertulis 'kami datang dari Kuala Lumpur hendak mencari ibu anda kerana ibu anda adalah adik emak saya'.

“Tok kemudiannya memaklumkan kepada anak-anak tentang nota yang diselitkan pada pintu rumah sebelum menghubungi nombor telefon tercatat dalam nota itu," katanya.

Katanya, pada 16 September lalu yang juga merupakan Hari Malaysia, dia telah pergi ke Kuala Lumpur bersama anak keduanya, Yaakub Ismail untuk berjumpa dengan kakak sulungnya itu.

"Anak tok inilah yang banyak berusaha untuk mencari waris tok sebelum ini. Kali pertama tok jumpa kakak, dia hanya terbaring sebab tak boleh berjalan lagi dan alami masalah penglihatan.

"Bagaimanapun tok bersyukur kepada ALLAH kerana dipertemukan dengan kakak kandung yang terpisah sekian lama. Selain itu tok gembira kerana keluarga tok makin besar dan terdiri daripada dua bangsa dan juga agama” katanya.