• Muhammad NazrulMuhammad Nazrul

KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 19 tahun mengaku tidak salah atas tuduhan mencabul isteri jirannya di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Muhammad Nazrul Isham Dollah, dari Kampung Marak Banggu, di sini, didakwa pada tuduhan kedua, mencabul dengan memeluk mangsa yang berusia 24 tahun itu dalam bilik tidur sebuah rumah mangsa di Kampung Pasir Tumboh, Kubang Keranji, di sini, pada jam 10 malam, 3 September lalu.

Tertuduh sebelum itu didakwa pada tuduhan pertama, menceroboh masuk ke rumah mangsa pada masa dan tarikh berkenaan, manakala pada tuduhan ketiga, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa pada insiden sama.

Pada prosiding itu, dia juga didakwa atas tuduhan berasingan menceroboh masuk ke rumah mangsa pada jam 1.30 pagi, 8 September lalu.

Difahamkan, tertuduh bekerja sebagai juru kimpal di bengkel bersebelahan dengan rumah mangsa dan meminati mangsa serta sering mengintai pergerakan wanita berkenaan.
Tertuduh berjaya ditangkap oleh suami mangsa sendiri ketika menceroboh ke rumah pasangan itu pada 8 September lalu.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan perkara itu bukan kali pertama dilakukan tertuduh sebaliknya, sudah tiga kali kejadian sama berlaku.

Mendengarkan hujahan itu, Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Oktober depan.