• Nisalma (kiri) diperintah jalani ujian mental selama sebulan.Nisalma (kiri) diperintah jalani ujian mental selama sebulan.

KOTA BHARU - Seorang pemilik kedai perabot diperintah menjalani ujian mental selepas dituduh atas dakwaan membunuh suaminya, di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Perintah dikeluarkan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Nisalma Saat, 37, selepas permohonan itu dibuat peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal, bagi pihak tertuduh.

Nisalma didakwa membunuh Mohd Zamany Md Eusope, 38, di sebuah kedai perabot di Kampung Chicha, Jalan Hospital Kubang Kerian, Kubang Kerian, di sini pada jam 9.45 malam, 3 September lalu.

Dakwaan terhadap Nisalma dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bersama Nisalma, seorang pembantu rumah warga Indonesia, Ratu Nahtriah, 26, pula didakwa melindungi tertuduh dengan bertindak membuang pisau digunakan dalam pembunuhan itu, antara jam 9.45 dan 11 malam, tarikh sama.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Oktober depan. Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Terdahulu, Ahmad Zaidi membuat permohonan supaya anak guamnya itu dihantar menjalani ujian mental dan dipersetujui pihak pendakwaan serta mahkamah.

Nik Habri mengarahkan tertuduh menjalani ujian tersebut selama sebulan atau bergantung pada tempoh sehingga laporan terhadap kesihatan mentalnya siap.

Sementara, amah tersebut pula tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan bukan warganegara Malaysia dan ditahan sehingga kes disebut semula, pada tarikh sama.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, taktik seorang pemilik kedai perabot menyembunyikan pembunuhan suaminya terbongkar selepas bedah siasat pihak hospital mendapati ada kesan tikaman sepanjang 14.5 sentimeter pada bahagian kiri dada mangsa dan kesan koyakan di dagu si mati, juga dipercayai kesan tusukan benda tajam.