Search This Blog

Tuesday, September 16, 2014

Alami gejala Ebola


Kuching: Seorang penuntut lelaki warga Afrika sebuah universiti swasta di bandar raya ini dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana disyaki mengalami simptom penyakit Ebola, tengah malam kelmarin.
Penuntut lelaki berusia 24 tahun itu, dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 12 tengah malam selepas mengalami demam panas sebelum dikuarantin.
Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata, penuntut dari Zimbabwe sebelum itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Tabuan, namun kakitangan perubatan meminta supaya merujuk kes itu kepada HUS.

Bagaimanapun, beliau berkata, penuntut terbabit kini di Wad Isolasi dan tidak menunjukkan simptom berkaitan dengan virus maut itu.
Foto
BANGUNAN di pekarangan HUS tempat seorang pesakit yang disyaki dijangkiti virus Ebola.

“Ketika ini kami sedang memantau perkembangan kesihatan penuntut ini dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

“Setakat ini tiada pengesahan lagi (jangkitan Ebola), pakar di HUS masih meneruskan siasatan dan memantau dengan rapi keadaan lelaki itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan penuntut itu tidak pernah meninggalkan negeri ini tetapi ada bertemu rakannya dari Nigeria yang baru pulang dari negara asal mereka.

Sementara itu, Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata, keputusan sama ada penuntut itu menghidap Ebola atau sebaliknya, akan diketahui dalam tempoh seminggu.

“Ada satu kes turut disyaki berlaku di Perak, namun selepas pemeriksaan rapi, suspek mengalami demam panas didapati negatif wabak itu,” katanya.

Wabak Ebola pertama dikesan berlaku pada 1976 di dua lokasi serentak iaitu Nzara, Sudan, dan Yambuku, Republik Demokratik Congo.

Ebola adalah demam berdarah yang membawa maut kepada manusia serta monyet dengan dianggarkan lebih 2,000 kematian dilaporkan berlaku Afrika Barat akibat wabak itu tahun ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

No comments:

Post a Comment