Search This Blog

Saturday, August 9, 2014

Wanita ditahan cuba seludup RM3 juta


Mukdahan, Thailand: Seorang wanita ditahan kerana cuba menyeludup wang tunai sebanyak 30 juta baht (RM3 juta) dari Thailand ke Laos melalui Jambatan Persahabatan.

Ketua pegawai kastam Mukdahan, Woraphat Chaovisit berkata, wanita dikenali sebagai Matapon, 42, cuba menyeludup masuk wang itu melepasi pemeriksaan imigresen Thai-Laos.


“Suspek membawa 30 ikat wang tunai yang berjumlah 1 juta baht setiap satu,” katanya.

Katanya, pihaknya bertindak hasil maklumat yang diberikan kepada kastam dan menahan lori pikap dipandu suspek ketika dia tiba di pusat pemeriksaan itu kelmarin.


Selepas lori digeledah, pihaknya menemui wang itu disorokkan di bawah kerusi bahagian depan dan belakang di dalam kotak peralatan.

Matapon menjelaskan majikannya di Laos mahu menggunakan wang itu untuk membeli minuman tenaga, tetapi dia tidak sempat membuat pembayaran kerana bank tutup.

Justeru, Matapon mendakwa dia terpaksa membawa semua wang itu bersamanya ke Laos.

Bagaimanapun, pihak kastam tetap meragui penjelasan wanita berkenaan.

Undang-undang Thai melarang individu membawa wang 500,000 baht (RM50,000) ke luar negara tanpa kebenaran pihak berkuasa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

No comments:

Post a Comment