• Dua anggota penguatkuasa KDN memeriksa DVD di sebuah premis di Taman Cheng Perdana.Dua anggota penguatkuasa KDN memeriksa DVD di sebuah premis di Taman Cheng Perdana.

CHENG - Sebanyak 4,000 keping cakera video digital (DVD) filem tanpa Label B dirampas penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya dalam serbuan di sebuah premis di Taman Cheng Perdana, di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Superintendan Arjunaiti Abdullah berkata, rampasan DVD bernilai RM32,000 itu turut membabitkan 15 keping DVD filem lucah dalam operasi kira-kira 5 petang.

“Selain DVD filem antarabangsa dan tempatan, kita turut merampas 15 keping DVD filem lucah dipercayai ditempah pelanggan dijumpai di dalam plastik yang disorok di bawah meja.

“Kesemua 4,000 DVD dirampas dari premis yang gagal menunjukkan lesen perniagaan itu kerana kegagalan mempamerkan Label B pada setiap kepingan DVD yang dijual,” katanya.

Arjunaiti berkata, serbuan diketuainya dan disertai enam anggota penguatkuasa itu dibuat selepas tiga hari risikan hasil maklumat orang awam.

“Seorang wanita berusia 17 tahun yang dipercayai penjaga premis terbabit turut ditahan dan dibawa ke Kompleks KDN Melaka, Ayer Keroh bagi siasatan lanjut.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 18b di bawah Akta Penapisan Filem 2002 kerana tidak mempunyai Sijil Kelulusan B daripada KDN yang memperuntukkan hukuman denda maksima RM25,000,” katanya.

Arjunaiti berkata, siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 5 akta sama jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara.