Search This Blog

Saturday, August 2, 2014

Seorang pesakit Ebola akan dirawat di AS



KHEMAH khas yang akan digunakan untuk merawat pesakit Ebola di Universiti Emory, Atlanta.


ATLANTA - Seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang dijangkiti virus Ebola akan pulang dalam masa beberapa hari lagi untuk dirawat di sebuah pusat pengasingan di sini, kata beberapa pegawai kelmarin.
Pusat khas di Universiti Emory, AS itu beroperasi bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang terletak berhampiran.
Media AS, Atlanta Journal-Constitution melaporkan hanya empat pusat berkenaan dibina di AS dan berfungsi untuk merawat penyakit berjangkit yang serius.
Kelmarin, CDC mengeluarkan amaran perjalanan ke beberapa negara Afrika termasuk Guinea, Sierra Leone dan Liberia.
Warga AS itu merupakan antara dua warga AS yang dijangkiti Ebola di Liberia. Mereka kini berada dalam keadaan stabil tetapi serius.
Liberia di Afrika Barat merupakan negara yang mencatat kematian tertinggi wabak Ebola.
Dua rakyat AS berkenaan ialah Dr. Kent Brantly dari Texas dan Nancy Writebol yang merupakan seorang mubaligh dari Carolina Utara.
Writebol sebelum ini membantu merawat mangsa-mangsa Ebola di sebuah hospital di Monrovia.
Saluran berita AS, CNN yang memetik kenyataan sumber mendedahkan kelmarin bahawa sebuah penerbangan sewa khas AS telah meninggalkan Georgia untuk memindahkan dua rakyat AS itu.
Sekurang-kurangnya seorang daripada mereka akan dirawat di Emory.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Nigeria mengkuarantin dua orang yang disyaki dijangkiti virus Ebola dan memantau 69 yang lain, menurut laporan akhbar Nigeria, Punch semalam.
Semua 71 orang itu pernah berhubungan dengan seorang juruperunding kerajaan Liberia, Patrick Sawyer yang meninggal dunia di sebuah hospital di Lagos akibat Ebola pada minggu ini.
"Kami sedang mengesan semua individu yang pernah berhubungan dengan Sawyer. Setakat hari ini (semalam) seramai 69 orang telah diletakkan di bawah pemantauan manakala dua lagi dikuarantin," kata Menteri Kesihatan Nigeria, Onyebuchi Chukwu.
Mengulas perkembangan membimbangkan itu, beberapa pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu bahawa wabak Ebola semasa di Afrika Barat yang merangkumi negara Guinea, Sierra Leone, Liberia dan kini Nigeria adalah yang terburuk setakat ini.
Setakat 31 Julai lalu, WHO menyatakan 1,323 kes Ebola telah disahkan dengan 729 kematian berlaku.
Dua doktor yang merawat pesakit Ebola masing-masing di Sierra Leone dan Liberia turut maut akibat jangkitan virus itu.
Penyakit Ebola menyebabkan pendarahan dengan risiko kematian mencecah 90 peratus.
Virus tersebut berjangkit melalui darah dan cecair badan lain.
Antara tanda-tanda penyakit itu ialah demam, sakit otot, sakit kepala, tekak kering, muntah, cirit-birit, masalah buah pinggang dan hati, pendarahan dalaman serta luaran. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0802&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz39BKJjeY9 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment