• Anggota polis mengeluarkan saman terhadap pelajar terlibatAnggota polis mengeluarkan saman terhadap pelajar terlibat

KULIM - Polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di lampu isyarat Jalan Kilang lama kira-kira jam 4 pagi semalam kerana menunggang secara merbahaya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, suspek cuba melarikan diri sebaik ternampak kehadiran polis bagaimanapun terbabas di tepi jalan.

Bimbang ditahan polis, suspek mencampakkan motosikalnya di tepi jalan sebelum melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Polis kemudiannya meminta suspek keluar dari persembunyiannya dan meminta dia bekerjasama sebelum dibawa balik ke balai polis, pemeriksaan dijalankan mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan motosikalnya juga sudah tamat tempoh.

“Dari keterangan dibuat pelajar itu, motosikal jenis Honda Wave ditunggangnya milik bapanya yang berada di Sabah. Kita menghubungi ibunya dan meminta datang ke balai untuk membuat tuntutan motosikal berkenaan," katanya.

Abdullah berkata, polis mengingatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak mereka di bawah umur menunggang motosikal.

"Ini adalah kerana 90 peratus dari kemalangan maut sepanjang bulan Julai melibatkan pelajar sekolah berusia antara 14 hingga 16 tahun,” katanya.

Menurutnya syarikat insurans tidak akan membayar sebarang pampasan sekiranya penunggang motosikal di bawah umur dan cukai jalan serta perlindungan insurans tamat tempoh terlibat dalam kemalangan.

"Ini bukan sahaja membahayakan diri mereka malah pengguna jalan raya lain.

"Menunggang secara merbahaya atau terlibat dalam perlumbaan haram merupakan satu kesalahan serius di mana  suspek terlibat boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.