• Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran.Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran.

KUALA MUDA - “Mujur ahli keluarga lain bermalam di rumah emak, jika tidak, kesemua enam orang turut menjadi mangsa kebakaran,” luah ahli keluarga terdekat, Zulfikri Saidin, 43, mengenai kejadian yang berlaku di rumah adiknya dekat Kampung Baru Sungai Layar di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku pada waktu awal pagi itu hanya disedari anak saudara Zulfikri yang ketika itu hanya tinggal seorang diri.

“Masa itu tinggal Mohd Naqiub Jamal Najib, 17, seorang diri sementara yang lain bermalam di rumah emak,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulfikri berkata, kejadian mungkin disebabkan litar pintas kerana mangsa terdengar bunyi sesuatu yang kuat sebelum bertindak panik terus menyimbah air ke bahagian pendawaian terbabit.

Katanya, api merebak pantas sehingga menyebabkan keseluruhan bahagian rumah kayu terbabit hangus dalam kebakaran.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Khairil Syamsul Yusof berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 5.52 pagi dan sampai ke lokasi kejadian kira-kira jam 6.04 pagi.

Menurutnya, api dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh lapan minit bersama anggota yang ditugaskan.

“Kekuatan anggota seramai 13 orang bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan,” katanya.

Difahamkan, rumah terbabit didiami keluarga yang turut mempunyai kaitan persaudaraan dengan seorang pemimpin tempatan di sini.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Merbok, Prof Dr Ismail Daut yang dimaklumkan turut melakukan tinjauan ke lokasi kejadian beberapa jam kemudian.