• Emirul Iskandar dan adiknya, Emisya Alis mengemas barang yang berselerakan.Emirul Iskandar dan adiknya, Emisya Alis mengemas barang yang berselerakan.

ALOR SETAR - Seorang penjawat awam kerugian hampir RM10,000 apabila rumahnya di Taman Rakyat, Jalan Sultanah dekat sini, dimasuki pencuri ketika dia dan keluarganya bercuti sempena Aidilfitri di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rosli Ariffin, 50, berkata, dia dan keluarganya mendapat maklumat tentang rumahnya dimasuki pencuri selepas jirannya menghubunginya ketika jam 12.30 tengah hari kelmarin, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Alor Setar.

Katanya, jirannya curiga selepas melihat pintu pagar rumahnya terbuka menyebabkannya masuk ke hadapan rumahnya dan mendapati pintu serta tingkap rumahnya juga turut terbuka.

“Semasa jiran membuka tingkap, dia dapati seluruh ruang tamu rumah berselerakan dengan barang-barang dan mengesyaki rumah kami dimasuki pencuri.

"Lalu jiran terbabit menghubungi saya serta membuat laporan di Balai Polis Anak Bukit,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, dia tiba di rumah jam pada jam 5.30 petang kelmarin dan mendapati semua bilik dan stor digeladah pencuri terbabit.

Katanya, pintu hadapan rumahnya diumpil hingga rosak dan pintu besi belakang pula terbuka bagi memudahkan mereka membawa barangan keluar.

"Pencuri itu bukan sahaja menggeledah semua almari dalam bilik malah turut membuka almari simpanan makanan di dapur hingga menyebabkan barangan makanan turut berselerakan.

“Pelbagai barangan seperti dua televisyen, dua komputer riba, dua gitar elektrik dan tabung anak saya juga turut dikebas. Paling menyedihkan ialah barangan emas yang disimpan oleh isteri saya turut dicuri," katanya.