Search This Blog

Saturday, August 2, 2014

Amah warga Filipina dibunuh penyamun


Anggota polis mengangkat mayat amah warga Filipina di flat di Jalan Choo Cheng, Kuala Lumpur, malam semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Seorang amah warga Filipina maut akibat dipukul di bahagian kepalanya oleh penjenayah yang dipercayai cuba menyamun keluarga majikannya di sebuah flat di Jalan Choo Cheng Khay, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, mayat mangsa berusia 35 tahun itu ditemui berlumuran darah dalam sebuah stor oleh salah seorang ahli keluarga majikannya yang baru pulang selepas bekerja.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati ada dua kesan luka di bahagian kepala mangsa dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.
"Tiada kesan pecah masuk rumah berkenaan dan kita dapati te-lefon bimbit milik mangsa telah hilang selain terdapat kesan geledah dalam rumah.
"Berdasarkan tanda-tanda itu kita percaya kejadian ini bermotifkan samun," katanya di sini hari ini.
Zainuddin berkata, semasa kejadian, mangsa hanya tinggal bersama ibu kepada majikannya tetapi wanita berusia 75 tahun itu terlantar sakit akibat diserang strok.
"Buat masa ini, polis tidak mengambil keterangan daripada wanita warga emas itu memandang dia tidak boleh bercakap serta melihat. Namun begitu, kita akan meneliti mana-mana kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran bagi mengesan suspek," ujarnya.
Menurut Zainuddin, polis turut menemukan sebilah pisau yang di-tinggalkan oleh penjenayah terbabit namun dipercayai hanya helah bagi mengaburi siasatan pihak berkuasa.
Beliau berkata, mangsa yang ditemui mati dalam keadaan mengiring itu sudah bekerja selama setahun 10 bulan bersama keluarga tersebut dan mempunyai seorang anak berusia 12 tahun di negara asalnya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Ke-seksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140802/je_04/Amah-warga-Filipina-dibunuh-penyamun#ixzz39BIBQaad
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment