Search This Blog

Tuesday, July 8, 2014

Yusof Haslam berjaya patahkan cubaan rompak rumahnya


Yusof Haslam menjawab panggilan telefon di depan rumahnya yang dimasuki perompak dalam kejadian di Taman Melawati, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Julai - Perasaan 'tidak sedap hati' pengarah filem, Datuk Yusof Haslam ketika berada di pejabat sehingga membuatkan beliau pulang ke rumah awal, menjadi 'penyelamat' kepada keluarganya ketika kediamannya di Taman Melawati, Hulu Klang dekat sini dimasuki tiga penjenayah awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Yusof melepaskan tiga das tembakan iaitu satu ke arah dinding rumah manakala dua lagi ke arah hutan berhampiran hingga menyebabkan ketiga-tiga suspek melarikan diri.
Menceritakan detik cemas tersebut, Yusof yang juga penerbit drama bersiri Gerak Khas itu berkata, semasa kejadian, beliau sedang menonton televisyen di tingkat enam rumahnya, selepas baru pulang dari pejabat Skop Production kerana ada perbincangan perniagaan dengan anaknya, Syafiq.
Katanya, beliau bagaimanapun tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan pembantu rumah di tingkat tiga seolah-olah dalam kecemasan.
"Daripada jeritan itu, saya dapat rasakan ia merupakan satu rompakan lantas saya mengambil pistol. Setelah menjerit memberi amaran beberapa kali, saya melepaskan satu das tembakan amaran ke arah dinding rumah.
"Benar telahan saya dan saya dengar ada bunyi orang melarikan diri ke arah hutan berhampiran. Ketika itu, saya melepaskan dua das lagi tembakan ke arah kawasan tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Yusof yang menggunakan pistol jenis Glock berkata, setelah diperiksa, beliau mendapati pintu jeriji besi di tingkat empat rumah berkenaan telah diumpil dan bilik Syafiq, di tingkat sama turut digeledah oleh penjenayah terbabit.
Beliau berkata, penjenayah yang berpakaian serba hitam dan bertopeng itu melarikan beberapa barangan berharga milik Syafiq antaranya cincin, jam tangan dan cermin mata yang dianggarkan bernilai RM10,000.
"Apa-apapun syukur Alhamdulillah kerana kesemua ahli keluarga kami selamat dan saya juga tidak bertembung dengan penjenayah terbabit. Jika tidak mungkin keadaan yang lebih buruk akan berlaku," ujarnya yang sudah 16 tahun tinggal di kediaman mewah enam tingkat itu dan insiden tersebut merupakan kali pertama menimpanya sekeluarga.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140708/je_06/Yusof-Haslam-berjaya-patahkan-cubaan-rompak-rumahnya#ixzz36pGwHTQ2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment