Search This Blog

Monday, July 7, 2014

Sorok cerita suami, anak meninggal dalam nahas


Rembau: “Buat masa sekarang, saya menyembunyikan berita suami dan anak kakak sudah meninggal dunia kerana keadaannya yang masih memerlukan rawatan serta perhatian,” kata Noraini Mustapha, adik kepada Musliha yang kehilangan suami serta anaknya dalam kemalangan di Kilometer 240 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Pedas/ Linggi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, Musliha, 31, kehilangan suami, Mohd Fauzan Saein, 27, anak, Muhammad Firas, tiga bulan serta sepupu, Muhammad Yunus Zulsyafiq Salim, 21, yang maut di tempat kejadian akibat parah di kepala serta badan.



Kemalangan berpunca apabila Proton Saga dipandu Mohd Fauzan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh papan tanda dan tiang lampu di lebuh raya itu.

Nahas itu turut mengakibatkan tiga lagi penumpang iaitu Musliha, anak perempuan mereka, Qistina Batrisha, 2, dan seorang lagi sepupu, Nur Syafiqah Salim, 23, parah dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan.

Noraini, 21, berkata, sebelum kejadian, Muhammad Yunus dan Nur Syafiqah datang dari Sabak Bernam, Selangor untuk menjemput Mohd Fauzan dan keluarganya di Taman Muhibbah, Gemenceh, Tampin pulang ke Selangor.

Katanya, ini kerana abang iparnya yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah di Gemecheh akan berpindah ke Selangor untuk memulakan kerja baru di sebuah kilang di Klang minggu depan.

“Malam tadi (kelmarin) saya menziarahi kakak dan dia bertanya keadaan suami serta anaknya.


Saya berbohong memberitahu semuanya dalam keadaan baik kerana tidak mahu dia bersedih,” katanya.


Seorang lagi adik Musliha, Nor Hafizah pula berkata, dia yang melawat kakaknya di Taman Muhibbah sehari sebelum kejadian terdengar perbualan telefon abang iparnya dengan adiknya, Mohd Hafiz, 19 yang memberi pesanan pelik.

“Saya dengar abang berpesan sekiranya dia mati, dia mahu jenazah dikebumikan di kampung halaman kerana dia merindui tempat asal usulnya.

Saya tidak sangka kata-kata itu menjadi kenyataan,” katanya.

Nor Hafizah berkata, sejak kebelakangan ini, abang iparnya banyak mendiamkan diri sedangkan dia peramah.

“Saya kasihankan kakak kerana dia kehilangan anak dan suami yang menjadi tempat bergantung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

No comments:

Post a Comment