Search This Blog

Tuesday, July 8, 2014

Saman: Johan, isteri dapat RM170,100


KUALA LUMPUR 7 Julai - Pengarah, Mohd. Javed Mohd. Nizar dan syarikat penerbitan drama dan filem, Juara Filem Production Sdn. Bhd., hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar RM100,000 kepada Johan Raja Lawak sebagai kos kecederaan parut kekal di mukanya akibat kecederaan dibaling dengan gelas kaca setelah terlibat dalam pergaduhan, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Su Geok Yiam dalam keputusan itu secara spesifik menyatakan, Mohd. Javed dan Juara Filem Production juga perlu membayar RM40 bagi laporan hospital dan kos rawatan di Pusat Rawatan Islam Darul Zaqwan Sdn. Bhd. Seremban, Negeri Sembilan sebanyak RM60 kepada Johan atau nama sebenarnya, Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz, 30.
Mohd. Javed dan syarikat itu yang dinamakan sebagai pihak defendan turut diperintah membayar RM20,000 kepada isteri Johan yang juga pelakon, Ozlyn Wati atau nama sebenarnya, Rozlinawaty Ismail, 33, bagi trauma yang dialaminya selain RM50,000 lagi perlu dibayar sebagai kos guaman kepada pasangan tersebut.
Ini bermakna jumlah keseluruhan yang sepatutnya diterima oleh pasangan itu berjumlah RM170,100 berserta kadar faedah lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian kes.
Dalam prosiding taksiran ganti rugi itu, Hakim Geok Yiam bagaimanapun menegaskan: "Mahkamah tidak memberikan sebarang ganti rugi terhadap Johan atas dakwaan kehilangan sumber pendapatan memandangkan tiada sebarang bukti dikemukakan untuk membuktikan pendapatannya sebelum kejadian itu."
Johan sebaliknya menurut hakim itu, hanya mengemukakan fakta berhubung sumber pendapatannya selepas kejadian tersebut dan tidak memberi bukti tentang pendapatannya sebelum kejadian untuk membantu mahkamah membuat dapatan fakta bahawa dia mengalami kerugian akibat kehilangan sumber pendapatan.
Tuntutan pasangan berkenaan supaya pihak defendan diputuskan bertanggungjawab memfitnah mereka bagaimanapun diketepikan oleh mahkamah.
Ini kerana, menurut hakim itu, e-mel yang didakwa sebagai memfitnah pasangan itu yang dihantar oleh pihak defendan kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak dihantar kepada pihak ketiga dan elemen fitnah tidak berjaya dibuktikan oleh pasangan itu.
Pada 18 Julai 2010, Johan selaku plaintif pertama dan Ozlyn Wati plaintif kedua memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM1 juta daripada kedua-dua defendan.
Menurut pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, mereka bekerja dengan pihak defendan dalam sebuah drama televisyen bertajuk Bisikan Arwah genre seram yang penggambarannya dijalankan di Sikamat, Negeri Sembilan.
Menurut pihak plaintif, pada pukul 7.25 petang, 10 Mei 2010, Johan menerima berita ibunya meninggal dunia akibat ketumbuhan otak dan kedua-dua mereka pulang ke Ampang selepas mendapat kebenaran daripada defendan kedua.
Selepas selesai urusan pengebumian ibu plaintif pertama, pasangan suami isteri itu memutuskan pulang ke lokasi pengambaran dan cuba menghubungi defendan pertama namun panggilan tidak dijawab.
Pada pukul 6 petang, 11 Mei 2010, ketika mereka tiba di restoran di Taman Pulai 2, Sikamat Seremban, Johan diherdik oleh seorang krew penerbitan bernama Halim dan Mohd. Javed pula mencapai satu gelas kaca lalu membaling tepat ke arah muka Johan sehingga gelas itu pecah menyebabkan kecederaan dan pendarahan ke atas mukanya.
Pihak plaintif antara lain menuntut ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi khas untuk perbelanjaan kos rawatan dan perbelanjaan sampingan.
Pada 7 Januari lalu, mahkamah memutuskan membenarkan tuntutan saman Johan dan Ozlyn Wati tetapi menolak tuntutan balas RM2 juta pihak defendan yang difailkan pada 18 Ogos 2010 terhadap pasangan itu.
Peguam Suhaimi Saad yang mewakili pihak plaintif memberitahu pemberita, anak guamnya tidak hadir ke mahkamah kerana mengalami kecederaan pada ligamen lututnya manakala Ozlyn Wati pula mengandung.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140708/ma_03/Saman-Johan-isteri-dapat-RM170100#ixzz36pE4v4Ya
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment