Search This Blog

Monday, July 14, 2014

PPDNKK Terengganu rampas 6,750 liter diesel


KUALA TERENGGANU 13 Julai - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu merampas sebanyak 6,750 liter minyak diesel bernilai RM13,500 dalam serbuan di sebuah stor simpanan di Taman Raya, Wakaf Tapai, Marang kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Pengarahnya, Syamsul Badrin Mohsin berkata, rampasan yang merupakan kali keempat dan terbesar sejak pelaksanaan Ops Titik itu berjaya ditumpaskan hasil maklumat orang awam mengenai kegiatan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barangan kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.
"Syarikat yang terlibat dalam industri pembalakan itu mempunyai lesen menyimpan diesel di stor asal yang terletak di Ajil tetapi apabila disiasat stor itu kosong.
"Kita akan teruskan siasatan tentang apa tujuan kesemua 45 tong diesel itu dipindahkan ke stor tidak berlesen di Wakaf Tapai," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di stor simpanan PPDNKK negeri di Chendering di sini hari ini.
Menurut Syamsul Badrin, operasi itu diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Radzi Johari bersama enam anggota lain.
Bagaimanapun, katanya, tiada individu ditahan dalam operasi itu tetapi pihaknya akan memanggil pemilik syarikat terbabit bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, menurut Syamsul Badrin, daripada keseluruhan empat kes Ops Titik itu, PPDNKK telah merampas 7,250 liter minyak diesel, sebuah lori termasuk menyita dua buah stesen minyak kerana terputus bekalan yang keseluruhannya membabitkan nilai RM32,500.
"Sementara itu, dari Januari hingga hari ini, sebanyak 19 kes penyelewengan diesel bersubsidi dilaporkan di negeri ini dengan 13 kes di Kuala Terengganu dan enam kes di Besut dengan nilai rampasan berjumlah RM119,923," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140713/je_14/PPDNKK-Terengganu-rampas-6750-liter-diesel#ixzz37OMSHoNh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment