• Keadaan bahagian ruang tamu rumah sewa Siti Noriah yang terbakar.Keadaan bahagian ruang tamu rumah sewa Siti Noriah yang terbakar.

TANAH MERAH - Kegembiraan sebuah keluarga untuk menyambut ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi hilang sekelip mata apabila rumah sewa didiami mereka musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi di Banggol Jenereh, dekat sini, pelbagai peralatan rumah dan kelengkapan menyambut Aidilfitri termasuk baju raya hangus dijilat api.

Mangsa, Siti Noriah Ramli, 40 berkata, ketika kejadian, semua lima anaknya yang berusia lapan hingga 15 tahun berada di rumah, manakala dia berada di tempat kerja.

Katanya, kejadian berlaku ketika dua daripada anaknya sedang tidur, sementara tiga lagi sedang mengemas rumah sebagai persiapan untuk menyambut hari raya.

“Apabila saya pulang ke rumah selepas dihubungi seorang jiran, api sedang marak tetapi nasib baik semua anak saya sudah berada di luar rumah.

“Bahagian ruang tamu termasuk barangan runcit dan peralatan elektrik semuanya hangus. Cuma ada dua bilik yang terselamat,” katanya yang bekerja mengambil upah menjahit sulaman.

Siti Noriah memberitahu, selain mengambil upah menjahit sulam, dia mengusahakan perniagaan runcit secara kecil-kecilan di bahagian ruang tamu rumah sewanya itu.

“Aidilfitri tahun ini tidak ada makna apa-apa bagi kami kerana semua pakaian raya termasuk baju dan kasut yang saya beli untuk anak-anak semuanya hangus.

“Sekarang ini, hanya tinggal beberapa helai pakaian raya lama yang saya kutip dalam almari dan tidak terbakar,” katanya yang menyewa rumah itu sejak tiga tahun lalu.

Tambahnya, suaminya, Rozali Mat Salleh, 44 yang kini bekerja sebagai buruh di ibu negara sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, nasib malang menimpa keluarga terbabit mendapat perhatian segera Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang melawat tempat kejadian.

Pada kunjungan turut disertai Ketua Jajahan Tanah Merah, Dr Che Hamat Che Muda itu, Abdul Fattah menyampaikan pendahuluan bantuan Tabung Serambi Mekah sebanyak RM1,0000.

“Kita turut menyampaikan bantuan sama (RM1,000) kepada jiran mangsa kerana rumahnya juga teruk terbakar walaupun tidak seteruk rumah mangsa.

“Saya harap mereka bersabar atas musibah yang menimpa dan bantuan ini diharap dapat membantu mereka,” katanya.