• Tertuduh dikawal polis dan akan dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman.Tertuduh dikawal polis dan akan dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman.

KOTA BHARU - Padah mengangkut wanita warga Myanmar yang diseludup, seorang lelaki dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah sesyen di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Azmi Zainal, 35, selepas dia mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa mengangkut migran yang diseludup, Be Be Jom, warganegara Myanmar di hadapan sebuah kedai kereta di Tunjong, di sini, jam 9.55 pagi pada 17 Januari 2014.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670), jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, dan boleh juga dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.

Prosiding semalam, sepatutnya ditetapkan perbicaraan berikutan tertuduh yang memohon untuk dibicarakan ketika dituduh sebelum ini. Dia bagaimanapun menukar pengakuan itu kepada mengaku bersalah.

Terdahulu, peguam, Ahmad Nurie Ab Rahman memohon tertuduh dikenakan hukuman ringan kerana masih menanggung seorang isteri dan tiga anak berusia antara 4 dan 12 tahun.

“Ini adalah kesalahan pertamanya dan tertuduh juga insaf serta menyesal atas kesilapannya. Mohon mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas tertuduh yang sudah enam bulan berada dalam tahanan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin bagaimanapun membantah rayuan itu dan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira jenayah serius dilakukan.

Azmi ditahan Penguat kuasa Jabatan Imigresen selepas pihak berkuasa itu bertindak susulan daripada maklumat berhubung kes mengangkut migran yang diseludup.

Pengadu, Pegawai Kanan Imigresen, Bahagian Penguat kuasa Jabatan, Sofiatul Azwani Razali dan anggota menyerbu serta memeriksa Azmi di hadapan sebuah kedai. Ketika itu, tertuduh berada di atas motosikalnya dan memakai topi keledar, sementara Be Be Jom duduk di tepinya.

Tertuduh mengaku mengangkut warga Myanmar itu dari Rantau Panjang ke tempat mereka ditahan dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha LC 135 bernombor pendaftaran DBV 2063 miliknya. Tertuduh menerima RM50 sebagai upah. Be Be Jom pula mengaku masuk ke Malaysia tanpa dokumen.