Search This Blog

Saturday, July 5, 2014

Menyamar pelarian


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Menyamar sebagai pelarian dengan menggunakan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dijadikan taktik oleh pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka untuk tinggal dan menjadikan Malaysia pangkalan operasi mereka.

Ini didedahkan polis hasil penahanan empat anggota kanan kumpulan LTTE yang bersembunyi di Malaysia dengan menggunakan kad UNHCR selain menghasilkan pasport palsu pelbagai negara untuk membantu pergerakan kumpulan berhaluan kiri itu.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, empat anggota kumpulan LTTE itu termasuk seorang pakar membuat bahan letupan ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman dalam beberapa siri serbuan di Kuala Lumpur dan Selangor Khamis lalu.



Katanya, keempat - empat suspek berusia antara 32 hingga 45 tahun itu disyaki terbabit dalam melancarkan serangan di Sri Lanka selain merancang untuk mengaktifkan kumpulan LTTE dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi.


“Seorang daripada mereka disyaki terbabit dalam cubaan membunuh Bekas Presiden Sri Lanka, Chandirka Kumaratunga pada 18 Disember 1999 manakala seorang lagi terbabit dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan, pas pelajar warga asing dan aktiviti penyeludupan manusia, “Seorang lagi dipercayai pakar menghasilkan bahan letupan dan yang keempat pula terbabit dalam pengumpulan dan penyaluran maklumat kepada LTTE untuk tujuan merancang serangan,” katanya dalam kenyataan, semalam.


Menurutnya, pihaknya merampas pasport palsu pelbagai negara dan cop rasmi Jabatan Imigresen Malaysia dan beberapa kedutaan asing.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

No comments:

Post a Comment