IPOH -  Jika tidak kerana saluran pembetung pecah, taktik pengusaha sebuah kolam menternak ikan air tawar di Jalan Ipoh-Batu Gajah, dekat Papan, di sini, menjadikan haiwan dipercayai babi sebagai makanan ikan patin tidak akan terbongkar.

Segala-galanya bermula menerusi pendedahan individu yang menyiarkan beberapa gambar penemuan tulang haiwan yang didakwa babi di laman sosial yang kemudiannya menjadi viral apabila dikongsi lebih 26,000 warga maya.

Individu yang bertanggungjawab mendedahkan maklumat itu, Mohamad Khirul Adnan Hamid, 26, berkata, penemuan awal kolam tersebut berpunca daripada maklumat diterima daripada seorang rakan tiga hari lalu.

“Yang disampaikan pada saya pada mulanya bukanlah kolam ikan patin seperti mana yang kita lihat, sebaliknya dia hanya katakan di situ ada sebuah lombong emas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohamad Khirul  berkata, sebaik mendapat maklumat, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kawasan sekitar dipenuhi orang ramai pelbagai bangsa menangkap ikan.

“Seolah-olah seperti ada ‘pesta’ pada ketika itu, yang datang lihat pun ada, yang datang kutip ikan pun ada. Tapi, saya ada tegur kepada pengunjung Islam, jangan tangkap ikan tersebut, saya cakap ikan tu makan babi, mereka faham.

“Ketika itu juga saya terlihat lambakan tulang serta kepala babi di sekitar dan dalam kolam. Lebih mengejutkan adalah, saya dapat lihat dengan mata dan kepala sendiri,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kolam berkenaan mendapati, tulang-tulang haiwan terbabit tidak begitu kelihatan berbanding gambar yang tersebar. Ketika itu, wakil Pejabat Perikanan Negeri Perak dan wakil Pejabat Daerah dan Tanah Kinta baru selesai membuat pemeriksaan di tempat itu.

Berdasarkan keluasan kira-kira 1 hektar, dianggarkan ribuan ikan air tawar khususnya ikan patin diternak di dalam kolam itu.


Terkejut, tak tahu

Penduduk, Ammar Mustaqim Ali, 23, berkata, walaupun sering menggunakan jalan utama berdekatan kolam ikan terbabit, dia langsung tidak tahu menahu akan kejadian yang berlaku sehinggalah ia disebarkan melalui laman Facebook, semalam (kelmarin).

“Memang tak tahu dan penemuan ini mengejutkan memandangkan selama ini saya anggap kolam itu kolam ikan biasa saja,” katanya.

“Bukan untuk lahirkan suasana yang kurang enak tetapi bagi saya seseorang penternak yang bertanggungjawab seharusnya menghormati kehidupan, pemakanan dan budaya seseorang Muslim,” katanya.


Siasatan awal dakwa tulang babi

Jabatan Perikanan Perak tidak menolak kemungkinan kolam ikan patin yang terletak di Jalan Ipoh-Batu Gajah dekat Papan, di sini, dipenuhi dengan timbunan tulang dan serpihan rangka babi.

Ketua Cawangan Pembangunan Akuakulturnya, Noraisah Hashim berkata, buat masa ini perkara terbabit belum boleh disahkan, namun berdasarkan anatomi bentuk struktur angka yang ditemui, pihaknya tidak menolak ia mirip haiwan berkenaan.

“Kalau dilihat dari pandangan mata kasar, anggapan kami ianya adalah serpihan tulang dan rangka babi namun kami belum boleh memberikan jawapan sebenar kerana perkara tersebut masih dalam siasatan,” katanya.

Noraisah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung isu berkenaan kira-kira jam 2 petang kelmarin selepas ia tersebar secara meluas di laman media sosial Facebook.

“Kami menerima maklumat itu selepas beberapa kakitangan kami menyedari isu terbabit selepas ia dikatakan kecoh di Facebook.

“Oleh itu, beberapa pegawai dan anggota diarahkan ke tempat kejadian untuk membuat siasatan awal,” katanya.

Menurutnya, kolam ikan patin itu juga merupakan sebuah kolam semula jadi yang digunakan pemilik untuk menternak pelbagai spesies ikan air tawar terutamanya jenis patin.

“Daripada bangkai yang ditemui kami percaya pemilik menternak ikan daripada jenis patin, namun terdapat juga ikan air tawar sepertitalipia, belida dan haruan yang turut ditemui di dasar kolam.

“Malah, kolam itu juga menggunakan air bukit berhampiran sebagai sumber kolam berkenaan,” katanya.


Sukar siasat: JAIPK

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) mengesahkan mengetahui tentang kejadian berkenaan, bagaimanapun belum ada sebarang tindakan dibuat.

Menurut sumber jabatan berkenaan, pihaknya masih meneliti perkara tersebut bagi melihat bidang kuasa tugas untuk mengendalikan isu itu.

“Jika kolam berkenaan berdaftar dan ada memohon sijil halal, kita akan bertindak. Tetapi jika ia tidak berdaftar, maka sukar untuk kita bertindak.

“Kita tidak boleh bertindak di luar bidang kuasa. Kolam ini milik persendirian dan terpulang kepada pemilik bagaimana untuk mengusahakannya. Takkan kita nak pergi sita,” katanya.

Menurutnya, cuma inisiatif yang akan buat mungkin mengadakan perbincangan dengan pemilik kolam untuk menjalankan penternakan mengikut garis panduan Islam.


Jangan takut jika

sudah termakan Umat Islam tidak perlu takut jika sudah termakan sesuatu sumber yang tidak diketahui telah tercemar dengan unsur najis seperti babi.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, sumber tersebut masih dalam kategori yang harus dimakan jika makanan utama bercampur antara yang najis dan bukan najis.

“Keadaan ini termasuk dalam konsep istihlak iaitu pencampuran najis yang sedikit dan najis yang banyak, jika ikan tersebut makan benda suci lebih banyak daripada benda najis, maka ia tidak menjadikan seluruh tubuhnya menjadi najis dan masih harus untuk dimakan.

“Bagi yang memang sumber makanan tersebut hanya memakan babi, dan umat Islam tidak tahu serta termakan, ulama sepakat mengatakan mereka dimaafkan,” katanya, semalam.

Beliau mengulas mengenai dakwaan sebuah kolam menternak ikan air tawar di Ipoh yang didakwa menggunakan bangkai babi sebagai makanan ikan.

Menurutnya, dalam kes ini konsep Istihalah juga boleh berlaku (proses perubahan zat yang membolehkan bahan-bahan haram berubah menjadi halal) kerana ia telah diproses dan berlaku secara semula jadi tanpa ada campur tangan manusia sehingga menjadikan ia harus dimakan.