Search This Blog

Thursday, July 10, 2014

Kurung wanita: Enam termasuk suami isteri direman


MELAKA 9 Julai - Polis menahan enam suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian seorang wanita dikurung dan dilacurkan di sebuah premis dua tingkat di Taman Seri Krubong di sini dalam tempoh 13 jam selepas mendapat maklumat tentang kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 62 tahun ditahan antara pukul 6.40 petang semalam hingga 2 pagi ini.
Menurutnya, mereka yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan empat pelanggan termasuk seorang warga emas telah direman sehingga 15 Julai ini.
"Suspek utama seorang lelaki berusia 32 tahun berjaya ditahan pada pukul 6.40 petang disusuli penahanan isteri mangsa berusia 26 tahun yang menyerah diri di Balai Polis Rembia.
"Penahanan pasangan suami isteri itu membolehkan polis memberkas empat pelanggan berusia antara 55 hingga 62 tahun ," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini hari ini.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda.
Kata Salehhudin, pasangan suami isteri yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dipercayai telah merancang melacurkan mangsa dengan bayaran RM60.
Difahamkan, mangsa yang merupakan anak yatim piatu dan berasal dari Perak itu telah dibesarkan di rumah kebajikan dan pernah berkahwin sebelum ini.
Salehhudin berkata, suspek utama sebelum ini mempunyai dua rekod lampau iaitu melibatkan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.
Semalam, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita berusia 22 tahun yang dikurung di sebuah premis dua tingkat di Taman Seri Krubong di sini selepas mendapat maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 2.30 petang.
Wanita tersebut dipercayai telah dipaksa melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki setelah dibawa oleh kenalannya ke premis tersebut kira-kira pukul 10 malam kelmarin.
Mangsa ditemui dalam keadaan letih dan lapar kerana tidak diberi makan dan minum selepas dibawa ke premis itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140710/je_03/Kurung-wanita-Enam-termasuk-suami-isteri-direman#ixzz370xg3zpq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment