Search This Blog

Thursday, July 10, 2014

Kecoh lepas kalah


Penonton di Stadium The Meneiao di Belo Horizonte menitiskan air mata apabila pasukan mereka dimalukan dengan kekalahan 1-7 kepada Jerman dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia, sekali gus menamatkan impian untuk menjulang piala itu di negara sendiri. 
Gambar pergaduhan antara penyokong Brazil di stadium itu turut tersebar. 

Di samping itu, pasukan polis antirusuhan dikerah berjaga-jaga di beberapa bandar utama.
Foto
POLIS bertindak untuk mengawal ketenteraman selepas keganasan tercetus di Belo Horizonte selepas perlawanan.

Di Rio de Janeiro, polis dikejarkan ke pantai Copacabana berikutan laporan kejadian menembak.

Pihak berkuasa juga mengerahkan pasukan keselamatan ke Sao Paulo selepas penyokong bola sepak dilapor membakar sebuah bas. 

Di Recife, tempat Fifa Fan Fest diadakan, pergaduhan berlaku selepas gol ketiga Jerman dijaringkan. 

Pergaduhan juga dilapor berlaku dalam kalangan peminat Brazil dan Jerman yang menonton perlawanan itu di sebuah kelab malam di wilayah Belo Horizonte. 

Sekumpulan remaja dilapor menyerang dan merompak pelancong berhampiran hotel terkenal, Copacabana Palace. Polis menahan lapan orang dan menyifatkan keadaan dalam kalangan peminat di situ sebagai tegang. 

Presiden Dilma Rousseff, yang berdepan dengan pilihan raya Oktober depan dan diramalkan sukar mempertahankan jawatan itu selepas kekalahan pasukan tuan rumah, menulis di Twitter untuk mententeramkan rakyat Brazil. 

“Seperti kebanyakan rakyat Brazil, saya juga sedih dengan kekalahan ini. Tetapi jangan biarkan kekalahan itu memusnahkan kita. Ayuh, kita bangkit semula,” katanya. 

Sementara itu, akhbar tempatan menyifatkan kekalahan itu amat memalukan. 

Pasukan Brazil yang diketuai David Luiz diejek sebaik perlawanan berakhir, kekalahan paling teruk Brazil dalam sejarah bola sepaknya. 

Perlawanan itu juga menjadi acara sukan paling banyak dibincangkan di Twitter dengan 35.6 juta pesanan dihantar oleh pengguna. 

Ia juga mencatatkan rekod bagi paling banyak tweet seminit sebaik Sami Khedira menjaringkan gol kelima Jerman pada minit ke-29 dengan 580,166 tweet seminit. 

Empat gol dalam masa tujuh setengah minit mengejutkan peminat bola sepak, bukan saja di Brazil, malah di seluruh dunia. 

Di Sao Paulo, antara bandar raya terbesar Brazil, ribuan peminat berhimpun di Vila Madalena. 

Seorang peminat, Samir Kelvin memeluk tiang lampu sambil menangis: “Saya tidak ada apa lagi. Saya rakyat Brazil dan saya telah dimalukan.” 

Tidak jauh dari situ, seorang wanita, dengan terisak-isak berkata: “Memalukan. Sungguh me malukan.” - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

No comments:

Post a Comment