PUTRAJAYA - Minyak diesel sebanyak 700,000 liter bernilai RM2.1 juta, yang dirompak dari kapal tangki 'MT Ai Maru' ditawan lanun di 31 Batu Nautika Timur Tanjung Sedili, Johor pada 15 Jun lepas, bukannya diesel seludup tetapi dibawa sebuah kapal tangki super di Singapura.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Puzi Ab Kahar berkata, ia berdasarkan penelitian terhadap dokumen yang dikemukakan pengurus kanan syarikat kapal Singapura yang memberikan kerjasama kepada Maritim Malaysia untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, 14 anak kapal warga Thailand dan kapten warga Indonesia, yang sebelum ini ditahan untuk siasatan penglibatan orang dalam, juga dibenarkan pulang minggu lepas.

Dalam kejadian 8 malam itu, kapal berkenaan yang didaftarkan di Honduras dan dalam perjalanan dari Singapura ke Kemboja, telah dirampas kumpulan lanun yang dilaporkan menggunakan bot laju.

Sebanyak 700,000 liter minyak diesel telah dipam ke dalam sebuah kapal yang tidak dapat dipastikan.

Mohd Puzi berkata, siasatan masih dijalankan terhadap bahan bukti yang ditemui di atas kapal itu iaitu sarung parang dan satu kelongsong peluru kosong.

Menurutnya tangkapan terhadap lanun terlibat juga sukar dilakukan kerana memerlukan kerjasama dengan negara lain.

APMM sedang mengumpulkan semua dokumen berkaitan kejadian itu bagi melengkapkan siasatan, yang kini mencapai 50 peratus, katanya. - Bernama