• Adnan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku salah atas dua pertuduhan melakukan cubaan pecah rumah.Adnan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku salah atas dua pertuduhan melakukan cubaan pecah rumah.

KUALA TERENGGANU - Cubaan seorang buruh untuk melakukan jenayah pecah rumah di dua lokasi berasingan tidak berjaya setelah kegiatannya itu disedari orang awam.

Adnan Embong, 44, juga terpaksa berpuasa di penjara apabila dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh mahkamah majistret, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Adnan mengaku salah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah.

Mengikut pertuduhan pertama, Adnan mengaku salah bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas telah cuba melakukan pecah rumah dengan mengumpil pintu hadapan sebuah rumah di Kampung Losong Haji Mat Shafie, di sini, pada 7 September 2013, lebih kurang jam 1.50 pagi.
Adnan turut mengaku salah bagi pertuduhan kedua iaitu melakukan pecah rumah dengan memasuki kediaman seorang warga emas, Rona @ Rakna Su @ Su Mohamed Salleh, 80, di Kampung Padang Midin, pada 20 Disember 2013, kira-kira jam 12.05 tengah hari.

Rozianti menjatuhkan 18 bulan penjara bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun dia mengarahkan hukuman berjalan serentak.