Search This Blog

Wednesday, July 9, 2014

7 termasuk dua wanita ditahan


JOHOR BAHRU 8 Julai - Polis menahan lima lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan seorang ahli perniagaan lelaki di Taman Iskandar, di sini sejak Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, kesemua yang ditahan berumur 26 hingga 45 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini selepas polis menerima laporan kehilangan mangsa daripada keluarganya.
Beliau berkata, ahli perniagaan itu didakwa menaiki sebuah kereta milik seorang lelaki dari Polo Park, Taman Iskandar di sini kira-kira pukul 2.30 pagi, 4 Julai lalu ke tempat yang tidak diketahui.
"Namun dia didapati tidak pulang ke rumah menyebabkan ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru Selatan, pukul 1.25 petang pada hari sama.
"Hasil siasatan yang dijalankan polis kemudian menemukan kereta tersebut di kawasan sekitar Nusajaya di sini namun ahli perniagaan itu masih belum dijumpai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hasnan berkata, hasil penahanan suspek, polis menemui sebuah kereta dipercayai milik salah seorang daripada mereka di kawasan Tampoi di sini bersama sekeping kad kredit milik mangsa.
Beliau berkata, polis juga kini sedang menyiasat sama ada kes kehilangan ahli perniagaan berkenaan mempunyai kaitan dengan penemuan satu mayat yang dibakar kira-kira 90 peratus di dalam kebun kelapa sawit dekat Batu Pahat, pada hari kehilangan mangsa.
"Polis kini sedang menunggu keputusan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) mayat tersebut dari Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140709/je_10/7-termasuk-dua-wanita-ditahan#ixzz36v8612Ns
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment