Search This Blog

Tuesday, July 8, 2014

60 tahanan Boko Haram lolos diri


Maiduguri, Nigeria: Lebih 60 wanita dan remaja perempuan yang diculik Boko Haram bulan lalu di timur laut Nigeria dilaporkan berjaya melepaskan diri daripada tahanan, tetapi 200 pelajar perempuan masih ditahan kumpulan berkenaan.

Penduduk tempatan, Abbas Gava yang bekerjasama dengan pihak keselamatan di Borno berkata, dia menerima maklumat berkenaan daripada rakannya yang mengatakan 63 daripada wanita serta remaja perempuan yang diculik sudah pulang ke rumah masing-masing.


“Mereka memberanikan diri dan mengambil kesempatan melepaskan diri ketika penculik keluar untuk melaksanakan operasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertempuran berlaku antara tentera dan kumpulan pemberontak itu Jumaat lalu selepas serangan dilakukan Boko Haram di Damboa yang menyebabkan 53 anggotanya dan enam askar terbunuh.


Pemberontak berkenaan menyerang berek dan stesen polis ketika tentera keluar melakukan rondaan di kampung-kampung berhampiran.


Sementara itu, aktivis pergerakan Bring Back Our Girls cuba berarak ke istana presiden di Abuja, kelmarin untuk memberi tekanan kepada kerajaan berhubung nasib lebih 200 pelajar perempuan yang diculik di Chibok pada 14 April lalu, namun diarahkan pulang oleh pasukan keselamatan.

“Sudah 83 hari berlalu sejak mereka diculik. Kami berarak selama 68 hari namun tiada siapa pun mendengar desakan kami jadi kami sepakat membawa protes ini ke kediamannya supaya dia tahu kami masih tidak putus harapan,” kata aktivis Aisha Yesufu, semalam.

Daripada 276 pelajar perempuan yang diculik April lalu, 57 berjaya menyelamatkan diri manakala 219 masih hilang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

No comments:

Post a Comment